Daripada masalah harian kepada peluang perniagaan

Daripada masalah harian kepada peluang perniagaan
Daripada masalah harian kepada peluang perniagaan

Dari kiri atas ke kanan bawah) Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Moodfree, Jeffrey Cheong;Ketua Pegawai Eksekutif PerySmith, Lim Eng Guan; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi ServAuto, Phoy Yong Hao ; dan Pengasas Kamatto, Alex Tan.

KUALA LUMPUR – Ada kalanya, sesuatu idea perniagaan tidak bermula daripada keinginan untuk mencipta produk semata-mata, sebaliknya tercetus daripada satu persoalan mudah – bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna dalam kehidupan seharian?

Bagi sesetengah usahawan, persoalan itu lahir daripada pengalaman sendiri. Ada yang melihat wanita memerlukan produk penjagaan haid yang lebih selesa, pengguna kenderaan mahukan penyelesaian lebih praktikal dan telus, manakala golongan peminat fesyen pula mencari kasut yang mampu menggabungkan keselesaan, kualiti dan harga berpatutan.

Perubahan gaya hidup pengguna turut membuka ruang kepada idea baharu, termasuk keperluan penjagaan kulit ketika pandemik, teknologi pembersihan rumah yang lebih mampu milik serta keinginan generasi baharu terhadap produk yang lebih moden.

Namun, menghasilkan sesuatu produk hanyalah langkah pertama.

Apa yang lebih penting adalah memahami keperluan sebenar pelanggan, mendengar pengalaman mereka dan memastikan penyelesaian yang ditawarkan benar-benar relevan dengan masalah yang mahu diselesaikan.

Dalam perkembangan ekonomi digital hari ini, platform seperti Shopee pula membuka ruang lebih luas kepada jenama tempatan melalui kempen Juara Lokal untuk mendekati pengguna, mendapatkan maklum balas secara langsung dan mengembangkan produk berdasarkan permintaan sebenar pasaran.

Bermula daripada keperluan wanita

Bagi Moodfree, idea perniagaan bermula daripada keperluan menyediakan produk penjagaan haid yang selesa, berkualiti dan mudah diakses oleh wanita Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Moodfree, Jeffrey Cheong, bersama pengasas bersama, Oscar Yip, melihat gaya hidup wanita yang semakin aktif memerlukan sanitary pad yang bukan sahaja memberikan perlindungan baik, malah selesa digunakan untuk tempoh yang panjang.

Antara kebimbangan utama pengguna ialah masalah kebocoran, rasa lembap, ketidakselesaan serta pad yang lambat menyerap.

Menurut Jeffrey, keperluan untuk menyelesaikan masalah tersebut menjadi antara asas kepada usaha Moodfree menghasilkan produk yang lebih dekat dengan keperluan wanita.

“Kami melihat wanita hari ini semakin aktif dan memerlukan perlindungan yang bukan sahaja baik, tetapi juga selesa untuk digunakan dalam tempoh yang panjang.

“Jadi, Moodfree memberi fokus kepada penghasilan sanitary pad dengan daya penyerapan pantas, perlindungan baik dan keselesaan untuk kegunaan harian supaya wanita dapat menjalani aktiviti seharian dengan lebih yakin,” katanya.

Dalam memahami pelanggan, Jefrey menjelaskan, Moodfree memberi perhatian kepada maklum balas dan pengalaman sebenar pengguna melalui platform e-dagang, media sosial serta komunikasi secara langsung.

Ujar beliau, maklum balas itu membantu mereka mengenal pasti perkara yang paling penting kepada pelanggan, termasuk penyerapan pantas, keselesaan, perlindungan daripada kebocoran serta pilihan produk yang sesuai untuk penggunaan siang dan malam.

“Platform seperti Shopee pula membantu Moodfree mendekati pengguna di seluruh Malaysia.

“Pelanggan boleh mengenali produk, membaca ulasan pengguna lain, membandingkan pilihan serta membuat pembelian tanpa mengira lokasi.

Pada masa sama, data jualan, ulasan dan maklum balas pelanggan di Shopee membantu Moodfree memahami pilihan serta keperluan pengguna, sekali gus membolehkan penambahbaikan dilakukan terhadap penawaran produk, promosi dan pengalaman membeli-belah,” katanya.

Kamatto permudah penjagaan kereta

Bagi Kamatto, peluang perniagaan tercetus daripada keperluan pemandu mendapatkan alas kaki kereta yang lebih berkualiti dan praktikal untuk kegunaan harian.

Pengasas Kamatto, Alex Tan, menyedari pengguna mahukan car mat yang lebih mudah diselenggara.

“Bagi kami, sesuatu produk perlu menyelesaikan masalah yang benar-benar dihadapi pengguna setiap hari. Sebab itu kami memberi tumpuan kepada aspek praktikal dan mudah diselenggara.

“Daripada keperluan itu, Kamatto membangunkan penyelesaian yang mampu memerangkap kotoran dengan berkesan, mudah dibersihkan, muat dengan kemas serta kekal segar tanpa bau kurang menyenangkan walaupun selepas terdedah kepada cahaya matahari untuk tempoh lama,” katanya.

Jelas Alex, bagi memastikan produk benar-benar memenuhi keperluan pengguna, Kamatto memberi perhatian rapat kepada maklum balas, ulasan dan pertanyaan pelanggan.

Katanya, maklumat tersebut digunakan untuk menambah baik aspek kesesuaian, ketahanan dan kebolehgunaan produk.

“Shopee kemudian membantu Kamatto mendekati pelanggan di seluruh Malaysia dengan lebih mudah selain menjadikan produknya lebih mudah ditemui.

“Lebih penting, ulasan, pertanyaan dan corak pembelian di platform tersebut turut memberikan gambaran mengenai kehendak pengguna, sekali gus membolehkan Kamatto bertindak balas dengan lebih pantas terhadap keperluan pasaran dan mengembangkan penawaran produknya,” jelas beliau.

ServAuto mahu bina semula kepercayaan

Bagi ServAuto, idea perniagaan pula lahir daripada satu kekecewaan yang sering dialami pemilik kereta – sukar mengetahui sama ada harga yang dibayar benar-benar berpatutan serta memastikan alat ganti yang digunakan berkualiti dan tulen.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi (COO) ServAuto, Phoy Yong Hao, membesar dalam perniagaan alat ganti kereta keluarga yang dibina atas kepercayaan pelanggan.

Beliau kemudiannya menghabiskan 15 tahun membangunkan operasi komersial di Asia Tenggara bersama syarikat Malaysia seperti Carsome dan AirAsia, pengalaman yang menurutnya menunjukkan betapa pantas sesuatu industri boleh berubah apabila pengguna mempunyai akses kepada maklumat lebih telus.

“Pengguna hari ini sudah biasa membandingkan harga, membaca ulasan dan mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jadi, kami melihat ada jurang yang perlu diselesaikan dalam industri penjagaan kereta.

“Namun, industri penjagaan kereta masih banyak bergantung kepada cara tradisional. Banyak bengkel tempatan telah beroperasi selama beberapa generasi, tetapi pengguna masih berdepan masalah sama iaitu harga sering tidak diketahui sebelum servis dilakukan, ketulenan alat ganti sukar dipastikan dan jaminan bertulis selepas servis tidak selalu diberikan.

“Pada masa sama, tingkah laku pengguna Malaysia telah berubah apabila mereka semakin biasa membandingkan harga, membaca ulasan dan mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan pembelian,” katanya.

Jelas Yong Hao, jurang itulah yang mendorong ServAuto ditubuhkan pada 2024 dengan misi mentransformasikan industri penjagaan kereta Malaysia berasaskan ketelusan, kepercayaan dan kepastian.

Katanya, bagi memahami pelanggan, ServAuto menggunakan beberapa saluran termasuk sesi siaran langsung, khidmat pelanggan, ulasan serta perbualan bersemuka di bengkel.

“Pertanyaan spontan pelanggan ketika sesi siaran langsung, misalnya mengenai jenis tayar yang sesuai untuk model kereta tertentu, membantu ServAuto memahami keperluan sebenar pengguna sebelum mereka membuat keputusan pembelian.

“Sehingga kini, ServAuto menerima lebih 2,000 penilaian lima bintang dengan purata penarafan 4.9,” ujar beliau.

Namun, bagi syarikat itu, maklum balas pelanggan bukan sekadar angka.

Kadar pelanggan yang kembali menggunakan perkhidmatan menjadi antara petunjuk penting bahawa masalah mereka benar-benar berjaya diselesaikan.

Melalui Shopee, pelanggan boleh melihat harga, memilih bengkel ServAuto berdekatan dan membuat pembelian sebelum hadir ke bengkel untuk pemasangan.

Menurut ServAuto, Shopee membantu menangani tiga cabaran utama iaitu jangkauan, pendidikan dan kepercayaan.

Dari kiri atas ke kanan bawah) Pengasas Bersama Lyden.co,Yong Ming Yee ; foto berkumpulan Dr. Cardin; Pengasas Bersama, Inovasi Produk & Pendidikan di Healez Sdn Bhd, Edward Cheng; Pertumbuhan Strategik & Operasi di Healez Sdn Bhd,Faisal Ismail, Pengasas Bersama.

Dari kiri atas ke kanan bawah) Pengasas Bersama Lyden.co,Yong Ming Yee ; foto berkumpulan Dr. Cardin; Pengasas Bersama, Inovasi Produk & Pendidikan di Healez Sdn Bhd, Edward Cheng; Pertumbuhan Strategik & Operasi di Healez Sdn Bhd,Faisal Ismail, Pengasas Bersama.

LYDEN.CO: Tiada kompromi antara gaya dan keselesaan

Bagi LYDEN.COpula, perniagaan bermula daripada kepercayaan bahawa setiap wanita berhak memiliki kasut berkualiti, selesa dan mampu milik.

Pengasas Bersama LYDEN.CO, Yong Ming Yee, melihat kasut wanita sering hadir dengan kompromi antara harga, keselesaan dan reka bentuk.

“Kami percaya wanita tidak sepatutnya perlu memilih antara kasut yang cantik dengan kasut yang selesa. Pada masa sama, kasut berkualiti juga perlu berada pada harga yang lebih mampu dimiliki.

“Kasut yang cantik dan berkualiti tidak semestinya mampu dimiliki semua wanita, manakala kasut pada harga lebih rendah pula tidak semestinya memberikan keselesaan untuk kegunaan harian.

“Daripada keperluan itu, LYDEN.CO dibangunkan untuk menawarkan kasut yang menggabungkan reka bentuk feminin dan moden, keselesaan serta harga lebih berpatutan,” katanya.

Jelas beliau, sehingga kini, lebih 300,000 pasang kasut telah dijual, mengukuhkan keyakinan bahawa permintaan terhadap kasut yang selesa, berkualiti dan mampu milik sememangnya besar dalam kalangan pengguna Malaysia.

Kata MingYee, untuk memahami pelanggan, LYDEN.CO bukan sekadar melihat trend tetapi turut belajar daripada pengalaman sebenar pengguna.

“Maklum balas mengenai keselesaan, saiz, bentuk kasut, reka bentuk dan kesesuaian untuk pemakaian harian diberi perhatian.

“Maklum balas melalui platform e-dagang, ulasan pelanggan, pertanyaan khidmat pelanggan serta corak pembelian membantu LYDEN.CO memahami perkara yang benar-benar penting kepada pengguna.

“Platform digital seperti Shopee pula memainkan peranan penting dalam perjalanan LYDEN.CO daripada sebuah perniagaan tempatan kepada jenama yang mampu menjangkau pelanggan di seluruh Malaysia,” katanya.

Ujar Ming Yee lagi, melalui Shopee, LYDEN.CO dapat mendekati pelanggan tanpa batasan geografi, termasuk mereka yang mungkin tidak berpeluang mengunjungi kedai fizikal.

Katanya, data dan maklum balas pelanggan secara langsung turut membantu jenama itu memahami produk yang mendapat sambutan, corak permintaan serta perkara yang perlu diperbaiki.

“Bagi LYDEN.CO, digitalisasi bukan sekadar membuka saluran jualan baharu, tetapi membolehkan perniagaan membina hubungan lebih dekat dengan pelanggan, belajar daripada pasaran secara langsung dan berkembang berdasarkan keperluan sebenar pengguna,” ujar beliau.

Healez lahir ketika pandemik

Healez pula bermula ketika pandemik COVID-19 apabila pemakaian pelitup muka setiap hari menyebabkan ramai pengguna berdepan masalah kulit seperti maskne, iritasi dan kulit sensitif.

Pengasas Bersama, Inovasi Produk dan Pendidikan Healez Sdn Bhd, Edward Cheng dan Pengasas Bersama, Pembangunan Strategik dan Operasi, Faisal Ismail, melihat ramai pengguna ketika itu sukar mendapatkan produk jerawat yang benar-benar sesuai.

Jelas mereka, ada produk yang terlalu mengeringkan sehingga menyebabkan kulit pedih dan sensitif, manakala produk yang terlalu gentle pula dirasakan kurang membantu masalah jerawat.

“Daripada situ, kami melihat keperluan terhadap produk yang bukan sahaja membantu menangani masalah jerawat, malah pada masa sama mengekalkan hidrasi dan skin barrier.

“Keperluan itu membawa kepada penghasilan produk pertama Healez, Acne Corrective Hydrating Serum.

“Kami melihat ada keperluan untuk mencari keseimbangan – produk yang membantu menangani masalah jerawat, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan hidrasi dan skin barrier,” ujar mereka.

Bermula dengan satu masalah yang dekat dengan pengguna, Healez kemudiannya berkembang kepada rangkaian penjagaan kulit lebih lengkap berdasarkan keperluan sebenar pelanggan.

Menurut Healez, cara paling penting untuk memahami pelanggan adalah dengan mendengar.

Maklum balas di media sosial, sesi LIVE, ulasan produk dan pertanyaan yang diterima setiap hari membantu mereka mengenal pasti masalah seperti jerawat yang sukar reda, kulit mudah merah dan sensitif, kulit kering atau skin barrier yang terganggu.

Maklum balas tersebut digunakan untuk menambah baik produk sedia ada serta merancang produk baharu.

Healez turut memberi fokus kepada pendidikan pengguna supaya pelanggan lebih memahami keadaan kulit, cara menggunakan produk dengan betul dan membina rutin yang sesuai.

Dalam perkembangan perniagaan, Shopee membuka peluang besar kepada Healez untuk memperkenalkan produk kepada pengguna di seluruh Malaysia secara terus melalui platform digital.

Review, pertanyaan dan maklum balas pelanggan di platform itu turut membantu Healez memahami dengan lebih cepat keperluan pengguna serta cara mereka menggunakan produk.

Kempen, promosi dan kemudahan dalam ekosistem e-dagang pula membantu jenama tempatan itu lebih mudah ditemui dan membina kepercayaan pelanggan, khususnya apabila digabungkan dengan media sosial, kandungan dan sesi LIVE.

PerySmith jadikan teknologi lebih mudah dicapai

Sementara itu, PerySmith bermula daripada keinginan untuk menjadikan teknologi pembersihan rumah yang boleh dipercayai lebih mudah dicapai oleh keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PerySmith, Eric Lim Eng Guan, yang mempunyai minat terhadap kebersihan rumah sejak kecil, melihat penyedut hampagas tanpa wayar telah mengubah cara kerja pembersihan rumah tetapi harganya yang tinggi menjadikannya kurang mampu dimiliki banyak keluarga.

Pada 2017, beliau mula membangunkan penyelesaian yang lebih mampu milik.

Selepas setahun menjalankan ujian ketat, PerySmith diasaskan pada 2018 dengan visi menjadikan teknologi pembersihan yang boleh dipercayai boleh diakses setiap rumah serta mengubah kerja pembersihan daripada satu beban kepada cara hidup yang lebih baik.

“Teknologi sepatutnya memudahkan kehidupan, bukan menjadi sesuatu yang hanya mampu dimiliki oleh golongan tertentu.

“Dalam memahami pelanggan, PerySmith bermula dengan memahami cara hidup pengguna dan cabaran harian yang mereka hadapi.

“Maklum balas pelanggan digabungkan dengan penyelidikan berterusan dan ujian produk untuk menghasilkan peralatan yang praktikal, boleh dipercayai dan mudah digunakan,” kata Eric Lim.

Jelas beliau, setiap produk PerySmith direka dengan satu tujuan iaitu menggunakan teknologi untuk memudahkan kehidupan seharian.

Kata beliau, Shopee memainkan peranan penting dalam pertumbuhan PerySmith apabila platform tersebut membolehkan syarikat menjangkau pelanggan di seluruh negara dan mengembangkan kehadirannya di Malaysia dengan pantas.

“Dengan ekosistem digital serta sokongan Shopee, PerySmith telah berkembang kepada kira-kira 60 peratus bahagian pasaran dan memperoleh keyakinan untuk membangunkan rangkaian peralatan rumah yang lebih luas,” katanya.

Dr. Cardin bawa legasi kepada generasi baharu

Bagi Dr. Cardin, cabaran yang dihadapi bukan sekadar mencipta produk baharu tetapi memastikan legasi yang telah dibina puluhan tahun kekal relevan dengan perubahan gaya hidup pengguna.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dr. Cardin, Chong Bok Mun, berkata jenama itu bermula sebagai perniagaan keluarga lebih lima dekad lalu apabila generasi pertama keluarganya terlibat dalam pembuatan dan pembekalan kasut kulit keselamatan.

Namun, perubahan gaya hidup dan keperluan pengguna menyebabkan industri kasut juga perlu berkembang mengikut zaman.

Generasi baharu kini mencari kasut yang bukan sahaja selesa dan berkualiti, malah sesuai dengan gaya hidup harian serta mempunyai nilai fesyen.

Pada masa sama, terdapat keperluan untuk membawa jenama tempatan yang telah lama dikenali generasi terdahulu kepada generasi lebih muda.

“Cabaran kami bukan sekadar menghasilkan produk baharu, tetapi memastikan legasi yang dibina selama puluhan tahun terus relevan dengan generasi baharu,” katanya.

Atas sebab itu, Dr. Cardin melalui proses penjenamaan semula dengan memperkenalkan rekaan lebih moden, kasual dan relevan tanpa meninggalkan pengalaman serta legasi yang telah dibina selama puluhan tahun.

Jelas Bok Mun, perubahan gaya hidup, trend fesyen dan maklum balas pelanggan menjadi asas dalam memahami keperluan pasaran.

Katanya, bagi Dr. Cardin, kasut bukan sekadar aksesori, sebaliknya produk yang digunakan dalam kehidupan seharian.”

Oleh itu aspek keselesaan, fungsi, kualiti dan reka bentuk perlu bergerak seiring.

Daripada kasut yang lebih tradisional, Dr. Cardin kini mengembangkan pilihan kepada sneakers, ballet sneakers dan beg tangan dengan reka bentuk serta warna yang lebih segar,” katanya.

Bok Mun juga menjelaskan, platform digital seperti Shopee pula memainkan peranan penting dalam transformasi itu dengan membolehkan Dr. Cardin mendekati pelanggan lebih luas tanpa bergantung sepenuhnya kepada lokasi fizikal.

Katanya, trend pembelian, maklum balas dan interaksi secara langsung di platform digital membantu jenama itu memahami produk, gaya dan harga yang lebih relevan kepada pengguna serta menyesuaikan strategi dengan lebih pantas.

“Bagi Dr. Cardin, digital bukan sekadar saluran jualan tetapi sebahagian daripada transformasi jenama untuk kekal relevan dengan generasi baharu, di samping membuka peluang kepada jenama tempatan yang mempunyai sejarah panjang untuk berkembang ke pasaran lebih luas,” katanya.

Daripada masalah, lahir penyelesaian

Kisah tujuh jenama ini memperlihatkan bahawa peluang perniagaan boleh bermula daripada sesuatu yang sangat dekat dengan kehidupan seharian.

Masalah kebocoran dan ketidakselesaan ketika haid, kesukaran menjaga kebersihan kereta, ketidakpastian ketika mendapatkan servis kenderaan, pencarian kasut selesa dan mampu milik, masalah kulit, kos teknologi pembersihan rumah serta perubahan citarasa pengguna; semuanya menjadi titik permulaan kepada idea yang kemudian dikembangkan menjadi perniagaan.

Apa yang menyatukan kesemua jenama berkenaan ialah keupayaan untuk mendengar dan memahami pengguna.

Maklum balas, ulasan, pertanyaan, corak pembelian serta interaksi secara langsung menjadi sumber penting untuk mengenal pasti apa yang benar-benar diperlukan pelanggan dan bagaimana produk atau perkhidmatan boleh diperbaiki.

Dalam konteks itu, platform digital seperti Shopee bukan sekadar saluran jualan.

Ia menjadi ruang yang membolehkan perniagaan tempatan menjangkau pengguna dengan lebih luas, memahami perubahan permintaan, membina keyakinan dan menyesuaikan penyelesaian berdasarkan pengalaman sebenar pelanggan.

Daripada satu masalah harian kepada satu penyelesaian, dan daripada satu penyelesaian kepada peluang untuk berkembang; kisah jenama-jenama ini membuktikan bahawa apabila keperluan pengguna benar-benar difahami, sesuatu cabaran boleh menjadi titik mula kepada inovasi dan pertumbuhan perniagaan.

Scroll to Top