Mencintai negara bukan asabiah

SOALAN apakah semangat nasionalisme itu boleh ditakrifkan sebagai asabiah?

Jawapan

Semangat patriotisme sering dikaitkan dengan rasa cinta kepada tanah air, kesetiaan kepada negara dan kesediaan berkorban demi mempertahankan keamanan serta kedaulatannya. Namun, dalam kalangan masyarakat Islam kadangkala timbul persoalan: sejauh manakah semangat patriotisme dibenarkan oleh Islam? Adakah kecintaan yang kuat terhadap negara dan bangsa boleh termasuk dalam asabiah yang dilarang oleh Rasulullah SAW?

Persoalan ini perlu difahami dengan baik kerana Islam tidak pernah memusuhi fitrah manusia. Mencintai keluarga, tempat kelahiran, masyarakat, bangsa dan tanah air adalah sebahagian daripada perasaan semula jadi manusia. Apa yang ditegah Islam bukanlah perasaan cinta tersebut, tetapi apabila kecintaan itu berubah menjadi fanatisme sehingga seseorang sanggup mempertahankan kebatilan, melakukan kezaliman atau merendahkan orang lain.

Rasulullah SAW mencintai tanah air

Sirah Rasulullah SAW menunjukkan kecintaan terhadap tanah air bukan sesuatu yang tercela. Ketika baginda SAW terpaksa meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah, baginda memperlihatkan betapa mendalamnya kecintaan terhadap bumi kelahirannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah dan bumi Allah yang paling aku cintai. Kalaulah aku tidak diusir daripadamu, nescaya aku tidak akan keluar.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menggambarkan Rasulullah SAW sendiri mempunyai rasa kasih terhadap tanah kelahiran. Setelah berada di Madinah pula, baginda berdoa: “Ya Allah, jadikanlah kami mencintai Madinah sebagaimana kami mencintai Makkah atau lebih daripada itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan mencintai tempat seseorang hidup, membina keluarga dan kehidupan serta menikmati keamanan adalah perasaan yang diiktiraf oleh syarak.

Oleh itu, seorang Muslim tidak perlu merasa bersalah untuk mengatakan dia mencintai Malaysia. Mengibarkan Jalur Gemilang, menghormati lambang negara, mempertahankan kedaulatan tanah air, menjaga keamanan dan keharmonian masyarakat serta berusaha membangunkan negara bukanlah perkara yang bertentangan dengan agama.

Malah, kecintaan kepada negara sepatutnya diterjemahkan kepada tanggungjawab.

Patriotisme bukan sekadar melaungkan ‘merdeka’ atau mengibarkan bendera ketika bulan kebangsaan. Patriotisme ialah apabila seseorang amanah dalam pekerjaannya, tidak mengambil rasuah, menjaga harta awam, menghormati undang-undang, membantu masyarakat, memelihara keamanan dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Bila patriotisme menjadi asabiah?

Dalam masa sama, Islam meletakkan sempadan yang sangat jelas. Cinta kepada negara dan bangsa tidak boleh bertukar menjadi fanatisme.

Inilah yang disebut sebagai asabiah apabila seseorang membela kelompoknya bukan kerana kebenaran tetapi semata-mata kerana kelompok itu adalah kelompoknya.

Rasulullah SAW pernah ditanya tentang asabiah. Baginda menjelaskan: “(Asabiah ialah) engkau membantu kaummu melakukan kezaliman.” (Riwayat Abu Dawud)

Hadis ini memberikan satu garis pemisah yang amat penting. Mencintai bangsa sendiri bukan asabiah. Membela bangsa sendiri ketika mereka melakukan kezaliman itulah asabiah.

Mencintai negara bukan asabiah. Menganggap negara atau kelompok sendiri sentiasa benar sekalipun melakukan kesalahan itulah asabiah.

Berbangga dengan identiti sendiri bukan ‘asabiyyah. Menghina dan merendahkan bangsa lain kerana berasa bangsa sendiri lebih mulia itulah asabiah.

Islam tidak menghapuskan identiti bangsa. Allah SWT sendiri menciptakan manusia dalam kepelbagaian bangsa dan suku kaum. Firman-Nya: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling berkenalan.” (Surah al-Hujurat: 13)

Perbezaan bangsa bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya ruang untuk manusia saling mengenali, memahami dan bekerjasama.

Keadilan mengatasi sentimen kelompok

Ujian sebenar terhadap patriotisme bukan ketika kita menyokong sesuatu yang kita suka, tetapi ketika kita berhadapan kesalahan yang dilakukan kelompok sendiri.

Islam menuntut seorang Muslim berdiri bersama kebenaran sekalipun perkara tersebut tidak memihak kepada dirinya, keluarganya atau kelompoknya. Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat.” (Surah al-Nisa: 135)

Lebih menarik, al-Quran turut mengingatkan supaya kebencian terhadap sesuatu kelompok sekalipun tidak menyebabkan kita meninggalkan keadilan.

Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Maidah: 8)

Inilah keindahan Islam. Kita tidak disuruh membenci kelompok sendiri, tetapi kita juga tidak dibenarkan menjadi buta terhadap kesalahan kelompok sendiri.

Patriotisme dalam masyarakat Malaysia

Dalam konteks Malaysia, perkara ini sangat penting kerana kita hidup dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Kepelbagaian tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman. Sebaliknya, ia menuntut kebijaksanaan semua pihak untuk menjaga keamanan dan keharmonian yang telah dibina sekian lama.

Seorang Muslim boleh mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap agama, bangsa dan tanah airnya tanpa perlu membenci orang lain.

Kita boleh bangga menjadi Melayu tanpa menghina bangsa lain. Orang Cina dan India boleh mempertahankan bahasa, kebudayaan dan identiti masing-masing tanpa memusuhi masyarakat lain. Begitu juga masyarakat Sabah dan Sarawak dengan kekayaan etnik serta budaya mereka.

Kesemuanya mempunyai satu tanah air yang perlu dipelihara bersama.

Semangat patriotisme juga tidak boleh berhenti pada slogan. Negara tidak menjadi kuat hanya kerana rakyatnya mengibarkan bendera. Negara menjadi kuat apabila rakyatnya mempunyai integriti, ilmu, disiplin, akhlak dan rasa tanggungjawab.

Seorang penjawat awam yang melaksanakan amanah dengan jujur sedang berkhidmat kepada negaranya. Seorang guru yang mendidik dengan bersungguh-sungguh sedang membina masa depan negara. Anggota keselamatan yang menjaga sempadan mempertahankan kedaulatan negara.

Peniaga yang tidak menipu, pekerja yang amanah, anak muda yang menjaga kemudahan awam dan rakyat yang menolak rasuah semuanya sedang menerjemahkan patriotisme dalam kehidupan sebenar.

Tanah air adalah amanah

Nikmat keamanan yang kita kecapi hari ini tidak datang dengan sendirinya. Ada generasi terdahulu yang berkorban tenaga, harta bahkan nyawa supaya generasi hari ini dapat hidup dalam negara yang merdeka dan aman.

Sebab itu kemerdekaan tidak seharusnya hanya dikenang sebagai peristiwa sejarah. Ia adalah amanah.

Justeru, semangat patriotisme yang dianjurkan Islam ialah patriotisme yang berteraskan iman, keadilan dan akhlak.Malaysia adalah rumah kita bersama.

Menjaga keamanan, keharmonian dan kedaulatannya merupakan tanggungjawab bersama.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top