Ahmad Zahid sebak kenang lapan tahun kemudi UMNO

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebak ketika mengenang lapan tahun mengemudi parti itu yang penuh penderitaan dan pengalaman pahit yang menguji ketahanannya.

Ahmad Zahid berkata, sepanjang tempoh itu, UMNO melalui pelbagai jatuh bangun, termasuk luka yang mengguris hati, namun setiap ujian dilalui menjadikan perjuangan parti lebih matang dan tabah.

“Lapan tahun saya mengemudi bahtera parti keramat ini. Lapan tahun yang penuh mehnah dan tribulasi.

“Lapan tahun. Ada jatuh. Ada bangun. Ada luka yang mengguris hati. Namun setiap luka mendewasakan, setiap ujian mematangkan dan setiap cabaran mengajar erti ketabahan,” katanya dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran, UMNO terus bersemangat dalam perjuangannya untuk menawan semua Putrajaya.

Katanya, perjuangan itu bukan didorong kemaruk kuasa, ghanimah atau harta, sebaliknya demi sebuah cita-cita menerusi Agenda Malaysia Biru agar rakyat dan negara memperoleh kesejahteraan.

“Namun, lautan mana yang tidak bergelora. Badai ribut pasti melanda. Pesan saya, bersabarlah. Jangan kita mudah menyerah, jangan sesekali berubah arah dan jangan ada lagi yang berpaling tadah.

“Selagi kita istiqamah melangkah, selagi kita setia memegang amanah, yakinlah pasti sampai pertolongan Allah,” katanya.

Dalam nada penuh emosi, Ahmad Zahid turut memanjatkan doa agar perjuangan UMNO dipelihara, saf parti dirapatkan serta diberikan persefahaman yang diredai Allah.

Beliau turut berdoa agar kemenangan dikurniakan sekiranya ia baik untuk agama, bangsa dan tanah air, sebagai wasilah untuk UMNO terus berbakti.

“Jika kami sedang diuji, Kau kuatkanlah hati kami. Jika kami dihadapkan dengan manusia yang pelbagai wajah, bukakanlah hijab agar kami kenal dan lebih berhati-hati.

“Peliharalah perjuangan kami. Satukanlah hati-hati kami. Rapatkanlah saf kami. Bawalah rakan-rakan yang jujur dan ikhlas dan tidak tidak mengkhianati kami. Ilhamkanlah kepada kami persefahaman yang Engkau redai,” katanya dengan nada sebak sambil mengesat air matanya.

Mengakhiri ucapannya, Ahmad Zahid menyeru seluruh anggota UMNO supaya bangkit dan bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang disifatkannya sebagai ‘ibu segala pertempuran’.

“Setelah segala ikhtiar diusahakan, setelah segala doa dipanjatkan, setelah barisan dirapatkan, dari Dewan Merdeka ini… bangkitlah, bangkitlah.

“Bersiaplah kita untuk mara ke medan pertempuran. Berbekalkan kebersamaan serta keikhlasan, bersama rakan-rakan satu persefahaman. PRU16 pasti tiba yang akan menjadi ibu segala pertempuran. Bersiaplah untuk terus bermujahadah,” katanya. –UTUSAN

Scroll to Top