BYD ATTO 3 Performance kini di pasaran Malaysia, terhad 69 unit

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: BYD Sime Motors melancarkan BYD ATTO 3 Performance 2026 di Malaysia, sekali gus memperkenalkan varian paling berkuasa dalam rangkaian SUV elektrik jenama berkenaan setakat ini.

Pengarah Urusannya, Adeline Lew berkata, lebih 13,000 unit BYD ATTO 3 kini berada di jalan raya Malaysia sejak model itu diperkenalkan, mencerminkan penerimaan serta momentum BYD yang semakin kukuh dalam pasaran kenderaan elektrik (EV).

“Menerusi varian Performance 2026, kami terus membina kejayaan yang dicapai sambil mengutamakan proses pemilikan pelanggan dengan disokong oleh rangkaian kemudahan BYD yang semakin luas, terdiri daripada 44 cawangan jualan dan pemasaran, 28 pusat servis serta 12 pusat baik pulih badan dan cat badan kenderaan, di samping pelancaran Program Pramilik BYD Certified,” katanya pada majlis penghargaan media dan pelancaran model itu semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma.

Sementara itu, Ma berkata, varian baharu ini menambahkan lagi penawaran BYD ATTO 3 dengan menggabungkan prestasi, teknologi dan ciri praktikal yang sesuai untuk kegunaan harian.

“Model ini ditawarkan dalam jumlah terhad sebanyak 69 unit sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Model ini dikuasakan dengan pacuan semua roda (AWD), teknologi bateri terkini serta ciri-ciri pintar.

“Ia juga menghasilkan kuasa sistem tergabung sehingga 330 kW dan tork 560 Nm. selain mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.0 saat, menjadikannya lebih berorientasikan prestasi berbanding varian lain dalam rangkaian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun membawa peningkatan prestasi yang ketara, BYD masih mengekalkan ciri praktikal sebagai sebuah SUV elektrik untuk kegunaan harian yang menggunakan Bateri Bilah LFP berkapasiti 74.88 kWj, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 220 kW dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 530 km berdasarkan NEDC.

“Dari segi kelengkapan, varian Performance turut menerima beberapa ciri tambahan termasuk Paparan Kepala pada Cermin Depan (W-HUD) dan menjadi varian pertama ATTO 3 yang dilengkapi peti sejuk kenderaan dengan fungsi penyejukan dan pemanasan,” katanya.

Menerusi pelancaran Performance, rangkaian BYD ATTO 3 2026 di Malaysia kini terdiri daripada tiga varian, iaitu Ultra pada RM125,800, Premium (RM138,800) dan Performance (RM149,800) dengan varian Premium turut ditawarkan dalam warna baharu Gemilang Blue.

Bagi pembeli varian baharu ini, BYD Sime Motors turut menawarkan pakej pelancaran bernilai sehingga RM10,000, merangkumi pilihan pemasangan standard pengecas dinding atau pakej servis standard enam tahun, masing-masing disertakan dengan tawaran tukar beli tambahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top