KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disegerakan sebelum tempoh penggal tamat tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa PRU16 merupakan detik penentuan bagi mendapatkan semula mandat menerajui kepimpinan.
“Ini bukan desakan mahupun harapan, ini kehendak rakyat. Cukup-cukuplah, beri peluang kepada kami pula.
“Alang-alang menyeluk pekasam. Biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita dah berlawan, kita lawan… lawan sampai… (menang),” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata, dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini, negara menyaksikan berlakunya permanent political warfare atau peperangan politik yang berterusan, meskipun pilihan raya telah lama berakhir.
Tambah beliau, keadaan itu turut menyebabkan rakyat semakin penat dengan polemik politik yang sering berkisar mengenai persoalan mengenai pihak yang mahu dijatuhkan.
“Walaupun pilihan raya telah lama selesai. Rakyat semakin penat mendengar: Siapa yang mahu dijatuhkan? Siapa yang mahu disiasat dan siapa lagi yang mahu dipersalahkan?
“Hakikatnya… Rakyat hanya nak tahu: Siapakah yang mampu beri penyelesaian?,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, politik semasa dilihat semakin rencam apabila politik Melayu tidak lagi berpusat kepada satu wadah, manakala kesetiaan pengundi juga tidak lagi diwarisi seperti sebelum ini.
“Generasi baharu pula tidak terikat dengan nostalgia politik yang lama. Sebab itu, kita tidak boleh guna satu formula untuk semua medan. Demografi berbeza. Isu berbeza. Calon berbeza. Sentimen juga berbeza.
“Di Sabah ia memberikan kita pengajaran. Di Johor ia membangkitkan keyakinan. Negeri Sembilan pula menunjukkan bahawa persefahaman boleh menjadi kekuatan.
“Manakala Melaka insya-ALLAH akan menjadi medan seterusnya yang menguji sejauh mana Gelombang Biru benar-benar dapat diterjemahkan. Gelombang Biru bukan hanya untuk menjadikan UMNO sebagai pelengkap kerajaan,” katanya lagi.