Nubhan teliti pilih produk, suplemen sesuai untuk Mak Jenny

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad memaklumkan ramai pihak yang menghantar produk dan suplemen kepada ibunya, Mak Jenny, 80, sejak dua bulan terlantar di rumah kerana kecederaan patah kaki akibat terjatuh di kediamannya.

Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 40, berkata, dia juga menerima banyak mesej peribadi (DM) dari kenalan dan peminat yang mahu menghantar produk untuk dicuba Mak Jenny.

“Bila saya buka DM, ramai yang tanya sama ada mereka boleh hantar produk itu dan ini kepada Mak Jenny termasuk yang mencadangkan macam-macam suplemen untuk kuatkan tulang dan sebagainya.

“Sebenarnya, ramai pihak yang prihatin dengan keadaan kesihatan Mak Jenny ketika ini.

“Malah, ada pihak yang sanggup hantar barang terus ke rumah kerana mereka kesian tengok keadaan Mak Jenny yang terlantar di rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Nubhan, dia juga meneliti dan memilih produk suplemen yang sesuai kerana tidak mahu Mak Jenny mengambil produk sebarangan hingga boleh memudaratkan kesihatannya.

“Apapun, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin kerana memang ada suplemen yang saya beli untuk Mak Jenny pun atas cadangan dari peminat.

“Tapi kita tak boleh bagi sebarang produk pada Mak Jenny dan saya juga tak nak banyak sangat suplemen sampai ‘selori’ pula yang emak nak kena makan.

“Pada masa sama, anak saudara saya yang tinggal bersama Mak Jenny juga bekerja sebagai pembantu di farmasi dan dialah yang pantau suplemen dan produk untuk neneknya di rumah,” katanya.

Terdahulu pada awal Ogos lalu Nubhan memberitahu keadaan kesihatan ibunya, Mak Jenny yang mengalami kecederaan patah kaki akibat terjatuh di rumahnya.

Kata Nubhan, keadaan kesihatan ibunya juga semakin baik selepas mendapat rawatan doktor dan dijangka mengambil tempoh selama enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top