hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejadian banjir kilat melanda Zoo Negara dua hari lalu berpunca limpahan air Sungai Pandan dan Sungai Kemensah, Hulu Klang, yang bertembung susulan hujan lebat berterusan.
Walaupun paras air meningkat sehingga 1.2 meter di beberapa kawasan utama, pengurusan Zoo Negara mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kematian membabitkan haiwan liar yang berada di bawah jagaan mereka.
Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly Lana berkata, terdapat tanggapan dan komen tidak berasas daripada sesetengah pengunjung yang mendakwa pihak zoo tidak membantu haiwan liar.
Menurutnya, fakta itu tidak benar berikutan keadaan fizikal banjir yang ekstrem membataskan sebarang pergerakan kenderaan.
“Limpahan air banjir terlalu laju dan tiada kenderaan yang boleh melaluinya.
“Tram sendiri tidak boleh masuk berikutan air menenggelami kawasan reptilia, hippo (hippopotamus) dan savannah,” katanya.
Beliau berkata, pertembungan dua sungai utama berkenaan menyebabkan air melimpah dengan cepat ke kawasan habitat haiwan sekali gus menjejaskan laluan pengunjung dan kakitangan.
Mengulas mengenai keadaan haiwan di kawasan terjejas, Rosly berkata, sesetengah spesies seperti badak air tidak menghadapi sebarang masalah kerana sifat semula jadi haiwan berkenaan.
“Di situ kawasan hippo (badak air), dia memang suka berendam. jadi ia tidak ada masalah. Haiwan lain semuanya selamat. Kandang-kandang pun sudah dibersihkan sejak dua hari lalu.
“Memang ada lumpur yang agak tebal, tetapi situasi dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh dua jam,” katanya.
Menurutnya, jika dibandingkan dengan kejadian banjir besar yang pernah berlaku sebelum ini, pihak zoo kali ini dapat mengawal keadaan dengan lebih baik tanpa membabitkan sebarang kehilangan nyawa haiwan,” katanya.
Katanya, pihak pengurusan Zoo Negara memberi jaminan bahawa langkah pembersihan dan pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan haiwan serta keselesaan pengunjung yang hadir.
© New Straits Times Press (M) Bhd
