Anggota sindiket dadah RM 2.4 bilion lari ke luar negara 

PETALING JAYA : Kira-kira lima anggota sindiket yang dikaitkan dengan makmal pemprosesan dadah berskala besar di Puncak Alam, Selangor dengan sebahagian mereka dipercayai melarikan diri ke luar negara kini diburu polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti semua suspek dan sedang mengesan mereka.

“Kita sudah mengenal pasti mereka dan kita akan cari,” katanya di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Hussein enggan mendedahkan negara yang dipercayai menjadi destinasi pelarian suspek berkenaan. 

Beliau berkata, polis sedang memburu antara empat hingga lima individu yang semuanya mempunyai pembabitan terdahulu dalam aktiviti berkaitan dadah. 

Usaha mengesan suspek itu susulan siasatan terhadap sindiket yang dikaitkan dengan makmal pemprosesan dadah berskala besar berkenaan, yang membawa kepada rampasan dadah dianggarkan bernilai RM2.4 bilion. 

Makmal dadah di Puncak Alam itu dipercayai menghasilkan dadah bernilai berbilion ringgit sebelum kegiatannya terbongkar menerusi serbuan JSJN pada 15 Ogos lalu dalam Op Eumenes. –UTUSAN

Scroll to Top