Ketua sami seleweng lebih RM12 juta ditahan bersama pembantu wanita

Bangkok: Seorang bekas ketua sami berusia 66 tahun yang didakwa menyeleweng 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) daripada sebuah kuil terkenal di Ayutthaya ditahan polis, Khamis bersama seorang wanita yang dipercayai membantunya menguruskan wang berkenaan, lapor Bangkok Post.

Polis turut menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan bekas ketua sami itu melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit di atas meja makan di kediamannya.

Polis menyerbu kediaman warga emas itu di Wat Phutthaisawan, sebuah biara diraja purba di subdaerah Samphao Lom, daerah Muang pada jam 6 pagi.

Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Polis Leftenan Jeneral Natthasak Chaowanasai berkata, siasatan bermula selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kuil dan penyerahan wang kepada seorang rakan wanita untuk disembunyikan menggunakan nama orang lain.

Katanya, siasatan secara sulit menemukan bukti yang menyokong dakwaan berkenaan yang mana siasatan mendapati ketua sami itu didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran menyebabkan kerugian keseluruhan kira-kira 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) dalam tempoh lebih dua tahun.

Menurut polis, wanita yang ditahan itu dipercayai membantu bekas ketua sami berkenaan menguruskan wang yang diselewengkan. Puluhan juta baht dilaporkan mengalir menerusi akaun bank wanita itu setiap tahun.

Dia ditahan atas pertuduhan bersubahat dengan pegawai negeri dalam aktiviti haram. Mengikut undang-undang, ramai sami dianggap pegawai negeri kerana menerima elaun bulanan daripada kerajaan.

Warga emas berkenaan dilantik sebagai ketua sami Wat Phutthaisawan pada 2022 dan turut dikenali dalam perdagangan azimat kerana menghasilkan azimat Buddha terkenal termasuk syiling “Nuea Duang” yang menjadi rebutan ramai penganut.

Selepas ditahan, dia diiringi ke dewan perkahwinan kuil sebelum jubah putih disediakan untuk upacara pelucutan jawatan sami. Suspek kemudian kembali menggunakan nama asalnya sebelum ditahan polis dan dibawa ke CIB untuk siasatan lanjut.

Penyiasat mendakwa bekas ketua sami itu turut menyalahgunakan hasil jualan azimat serta barangan keagamaan lain dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun peribadi manakala resit sumbangan dikeluarkan atas nama kuil yang dikatakan menyerupai modus operandi dalam skandal berprofil tinggi membabitkan Wat Phrabat Namphu di Lop Buri yang mengalami kerugian dianggarkan 10 bilion baht (RM1.298 bilion).

Pemeriksaan di rumah pembantu wanita itu di daerah Khlong Luang, Pathum Thani pula membawa kepada penyitaan 35 azimat emas, jongkong emas dan barang kemas seberat 90 baht (1.36 kilogram) bernilai kira-kira 6.04 juta baht (kira-kira RM742,000).

Polis turut merampas wang tunai 3.6 juta baht (kira-kira RM443,000), tiga telefon bimbit, iPad, dokumen tanah dan bank, buku simpanan, dokumen pelaburan, polisi insurans serta dokumen berkaitan emas dan loteri.

Penyiasat berkata, kes itu mungkin turut membabitkan dua atau tiga individu lain termasuk lebih daripada seorang Wanita manakala seorang pentadbir awam Wat Phutthaisawan, Chettha Ninsukhum, turut dibawa ke CIB untuk disoal siasat, namun dia enggan menjawab soalan wartawan sebelum dibawa masuk ke bangunan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top