KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persiapan menghadapi pilihan raya ke-16 itu sudah dilakukan dan kini hanya menunggu masa sesuai untuk proses pembubaran dilaksanakan.
“Insya-ALLAH, tidak lama lagi (bubar DUN). Apabila tiba masanya, saya akan umumkan tetapi waktunya tidak terlalu lama, tidak terlalu singkat.
“Persiapan sudah dibuat sejak dua tahun lalu. Kita hanya tunggu masa sesuai, iaitu peringkat akhir untuk melengkapkan persiapan sebelum memulakan proses pembubaran DUN,” katanya ketika ditemui semasa melawat laman media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ab Rauf ketika ditanya mengenai kerjasama politik antara gabungan tersebut dan parti lain berkata, landskap politik negeri berbeza kerana kerajaan negeri dibentuk berasaskan formula BN Plus.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan, BN dan UMNO menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan rakan strategik terbaik bagi kerajaan negeri.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengesahkan, BN akan mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang dimenanginya ketika ini.
“Kita belum memulakan rundingan kerana saya sudah tegaskan bahawa sebarang rundingan dengan mana-mana parti politik hanya akan diadakan selepas pembubaran DUN.
“Kita tidak boleh berkompromi mengenai 21 kerusi DUN dengan berkongsi kerusi bersama pihak lain. Kita akan bertanding di kerusi masing-masing.
“Bagi tujuh kerusi lagi, parti yang menang perlu bertanding dan mempertahankan kerusi masing-masing. Kita akan mempertahankan kerusi kita,” jelasnya.
