Ipoh: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersama dengan agensi berkaitan masih berada di Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan bagi memantau keadaan kawasan berkenaan dan kelancaran aliran trafik selepas insiden tanah runtuh petang tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihak PLUS juga sedang mendapatkan penilaian pakar berkaitan keadaan lereng bukit di kawasan itu bagi memastikan keselamatan laluan sebelum tindakan selanjutnya ditentukan.
“Tiada kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian tersebut.
“Kerja-kerja pembersihan telah selesai dilaksanakan dan semua lorong dibuka semula kepada pengguna lebuh raya pada 7 malam,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau juga menasihati semua pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, khususnya yang melalui kawasan Terowong Menora dan laluan berbukit berhampiran, supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan selain mengurangkan kelajuan terutama ketika cuaca buruk.
Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira dua kilometer selepas Terowong Menora.
“Kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu melibatkan lorong kiri lebuh raya ketika kawasan berkenaan sedang mengalami hujan lebat.
“Susulan kejadian tersebut, lorong kiri telah ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan manakala trafik dialihkan ke lorong kanan,” katanya.
Beliau berkata pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini melalui saluran rasmi pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya sebelum memulakan perjalanan.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kejadian cerun runtuh di KM 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh telah menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15 km.
Menerusi hantaran di platform X, LLM memaklumkan kesesakan pada awalnya dilaporkan sepanjang empat kilometer sebelum meningkat susulan kerja-kerja pembersihan di lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
