am@hmetro.com.my
New Delhi: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, sebagai “hebat” ketika Malaysia berusaha menterjemahkan hubungan politik peringkat tinggi dengan Moscow kepada hubungan perdagangan, pelaburan dan komersial yang lebih kukuh.
Pertemuan kira-kira 20 minit di Hotel ITC Maurya di sini adalah pertemuan dua hala pertama Anwar selepas tiba di New Delhi dan berlangsung ketika Malaysia menggunakan perkongsian BRICS untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan pasaran pesat membangun utama serta memperluas jangkauannya di seluruh Selatan Global.
Ditanya mengenai hasil pertemuan itu, Anwar berkata:
“Ia hebat. Ia satu pertemuan yang hebat! Selebihnya esok.”
Perbincangan itu meneroka peluang untuk memperluas kerjasama dua hala dalam sektor ekonomi utama, termasuk tenaga, penerbangan, minyak sawit, pendidikan dan pelancongan, berasaskan hubungan Malaysia-Russia yang sudah lama terjalin.
Tumpuan terhadap bidang kerjasama praktikal itu mencerminkan usaha Malaysia untuk mengubah hubungan diplomatik yang lebih erat kepada peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih nyata, selain membuka ruang lebih luas kepada pembabitan antara sektor perniagaan Malaysia dan Russia.
Bagi Malaysia, hubungan ekonomi dengan Russia masih agak sederhana tetapi mempunyai ruang untuk dikembangkan.
Perdagangan dua hala berjumlah RM8.72 bilion pada 2025, merangkumi eksport Malaysia sebanyak RM2.91 bilion dan import RM5.81 bilion.
Perdagangan terus berkembang tahun ini, meningkat tujuh peratus kepada RM3.55 bilion dalam tempoh lima bulan pertama 2026.
Eksport Malaysia ke Russia merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan alat ganti, selain makanan diproses, manakala import utama terdiri daripada produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia.
Pertemuan dua hala itu turut berlangsung ketika usaha sedang dilakukan untuk memperkukuh hubungan ekonomi Asean-Russia yang lebih luas, dengan perdagangan barangan dua hala mencecah AS$18.1 bilion pada 2024, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut data Asean.
Bagi Kuala Lumpur, BRICS menyediakan platform tambahan untuk meneroka peluang perdagangan, pelaburan, teknologi dan tenaga dengan Russia serta ekonomi pesat membangun utama lain, selain mempelbagaikan rakan ekonomi Malaysia dan memperluas akses pasaran.
Pertemuan Anwar-Putin itu adalah susulan lawatan Perdana Menteri ke Russia pada Mei 2025, ketika perbincangan meliputi usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.
Hubungan itu mencerminkan usaha Malaysia untuk memperluas hubungan ekonominya dengan Russia melangkaui bidang tradisional, sambil mengekalkan dasar luar yang bebas serta hubungan konstruktif dengan kuasa besar dunia.
Dalam konteks itu, pertemuan terbaru berkenaan memberi isyarat Kuala Lumpur terus berusaha menterjemahkan muhibah politik kepada kerjasama ekonomi yang lebih mendalam serta mewujudkan peluang baharu bagi syarikat Malaysia di Russia dan pasaran BRICS yang lebih luas.
© New Straits Times Press (M) Bhd
