18 motosikal disita, empat ditahan dalam Op Samseng Jalanan

IPOH: Sebanyak 18 motosikal disita manakala empat individu ditahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh dekat Station 18, di sini awal pagi tadi.

Operasi pada pukul 2.30 pagi itu dijalankan polis daerah Ipoh bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak dengan kekuatan 66 pegawai dan anggota PDRM termasuk sukarelawan polis dan pasukan Sahabat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, sebanyak 214 motosikal dan 271 individu berusia antara 13 hingga 35 tahun diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

Katanya, sebahagian besar individu yang diperiksa merupakan golongan remaja.

“Hasil pemeriksaan mendapati 18 motosikal telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333], manakala empat individu ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan mengikut Seksyen 42(1) akta sama.

“Dalam operasi sama, sebanyak 416 saman trafik turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi itu, JAS turut mengeluarkan empat saman mengikut Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, operasi bersepadu itu akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan samseng jalanan di daerah ini.

“Usaha ini juga bagi mengurangkan kemalangan jalan raya selain membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan di sekitar bandar raya Ipoh.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top