Liga Super: Selangor mudah ratah KL City

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) kekal mempertahankan status sebagai ‘Raja Lembah Klang’ selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan itu melengkapkan rekod sempurna Gergasi Merah dalam empat perlawanan awal musim, bagi memastikan mereka terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pencabar terdekat, Kuching City.

Skuad kendalian Kim Pan Gon kini mengumpul 12 mata untuk berkongsi kedudukan kedua bersama Kuching City, hanya tiga mata di belakang JDT yang menerajui carta Liga Super.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Selangor menguasai sebahagian besar permainan dengan melancarkan beberapa siri serangan berbahaya yang memaksa benteng pertahanan KL City bekerja keras sepanjang perlawanan.

Tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-25 untuk memecah kebuntuan menerusi A. Selvan yang tenang menyempurnakan peluang dalam kotak penalti selepas kekalutan berlaku melibatkan penjaga gol KL City, Ameerul Eqhwan Mohd. Fauzi bersama pertahanan Giancarlo Gallifuoco dan penyerang Selangor, Chrigor Moraes.

Selangor tidak menunggu lama untuk menggandakan kelebihan apabila Moraes meletakkan namanya selaku penjaring sejurus enam minit babak kedua bersambung, bagi mengukuhkan cengkaman Gergasi Merah dalam perlawanan itu.

Penyerang import dari Brazil itu, terus menjadi duri dalam daging buat City Boys apabila mencipta bantuan gol pada minit ke-73 yang disudahkan Eduardo Sosa bagi menghadiahkan gol ketiga Selangor dan mengesahkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah.

Keputusan itu sekali lagi mengukuhkan dominasi Selangor dalam derbi Lembah Klang apabila kali terakhir mereka tewas kepada KL City dalam saingan Liga Super adalah pada Julai 2024.

Sejak itu, Gergasi Merah mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam pertemuan menentang The City Boys.-UTUSAN

Scroll to Top