SELANGOR FC meneruskan penguasaan ke atas Kuala Lumpur City apabila mencatat kemenangan 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Tiga mata itu membolehkan Gergasi Merah mengekalkan rekod sempurna selepas empat perlawanan, sekali gus mengumpul 12 mata untuk berada di kedudukan ketiga liga.
Selangor kini hanya dipisahkan tiga mata daripada pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Kuching City yang turut mengumpul 12 mata menduduki tangga kedua.
A Selvan meletakkan Selangor di depan pada minit ke-25 selepas menyudahkan peluang di dalam kotak penalti ketika berlaku kekalutan membabitkan penjaga gol KL City, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi serta Giancarlo Gallifuoco dan Chrigor Moraes.
Kelebihan satu gol itu kemudian dibawa ke bilik persalinan sebelum Moraes menggandakan keunggulan Selangor hanya enam minit selepas babak kedua bermula.
Moraes terus menjadi duri buat pertahanan City Boys apabila hantaran penyerang itu pada minit ke-73 membantu Eduardo Sosa menghasilkan gol ketiga, sekali gus mematikan sisa kebangkitan pelawat.
Kemenangan berkenaan turut melanjutkan dominasi Selangor dalam derbi Lembah Klang apabila mereka tidak tewas kepada KL City sejak kekalahan pada Julai 2024, dengan dua kemenangan dan satu seri direkodkan selepas itu.