am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku Temiar di Pos Gob berharap pembinaan dua jambatan besi yang menjadi laluan utama ke penempatan mereka dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh atau mengikut jadual ditetapkan.
Penduduk mendakwa projek berkenaan yang dimulakan awal tahun ini mengalami kelewatan dari segi kemajuan pembinaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Adi Liman berkata, projek itu dimulakan awal tahun ini dan dijangka siap pada Januari tahun depan, namun penduduk amat berharap ia dapat disiapkan lebih awal atau mengikut jadual.
“Tidak lama lagi kita akan berhadapan dengan musim tengkujuh yang menyebabkan jalan utama untuk keluar masuk ke penempatan kami rosak dan berlumpur.
“Jadi, kita bimbang apabila tiba musim tengkujuh dan masih tiada kemajuan dalam projek pembinaan jambatan terbabit, keadaan jalan akan tetap rosak seperti sebelum ini atau menjadi lebih teruk.
“Kami, penduduk di Pos Gob, berharap jambatan terbabit dapat disiapkan lebih awal atau mengikut jadual kerana ia akan memberi kemudahan kepada penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di Pos Gob, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata aduan penduduk Orang Asli itu dipandang serius kerana ia membabitkan jalan perhubungan penduduk Orang Asli di pedalaman.
Katanya, bagi menyelesaikan isu berkenaan, beliau bersama kontraktor mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk Orang Asli di Pos Gob bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

