Ucapan kontroversi di PAU: Pemimpin wajar lebih cermat sentuh soal agama

PUTRAJAYA: “Saya rasa isu agama satu isu yang sensitif. Sebagai pemimpin, kita wajar berhati-hati,” kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Itu penjelasan Azalina berhubung ucapan kontroversi oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 lalu susulan ucapan berkaitan paderi dan biarawati.

Azalina berkata, agama merupakan perkara sensitif dan pemimpin perlu lebih berhati-hati ketika berucap bagi mengelakkan salah tafsiran dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, ramai yang berada dalam Dewan Merdeka ketika ucapan itu turut terkejut dengan analogi yang digunakan oleh perwakilan berkenaan.

“Kami yang dalam dewan itu pun agak terperanjat. Sebab saya rasa bila kita berbahas, walaupun niat kita nak buat cerita-cerita kelakar atau menghiburkan perwakilan, tetapi kalau guna isu agama, takut salah interpretasi.

“Mungkin tidak oleh kita, tetapi oleh penganut agama tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpandangan perwakilan UMNO Bahagian Sepang itu tidak mempunyai niat jahat walaupun analogi yang digunakan melibatkan isu agama dianggap tidak sesuai.

“Saya tengok cara dia bercakap itu, dia tidak ada niat yang jahat atau nak menghina. Dia hanya nak membuat analogi, tetapi mungkin contoh yang digunakan dalam isu agama itu salah. Salah analogi,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO akan mengambil tindakan terhadap perwakilan berkenaan, Azalina berkata, perkara itu bergantung kepada kepimpinan UMNO Selangor kerana individu terbabit mewakili negeri tersebut.

Katanya, parti perlu menghormati pandangan dan suara yang dibawa oleh para perwakilan, khususnya yang mewakili negeri-negeri.

“Kita dalam parti kena menghormati suara-suara perwakilan, terutamanya yang mewakili negeri-negeri. Terpulang kepada Perhubungan UMNO Negeri Selangor apa tindakan yang mahu diambil.

“Dalam bahasa undang-undang, dia bukan mala fide. Dia hanya menggunakan itu sebagai satu analogi. Mungkin analogi itu salah karakter yang dipegangnya. Itu pandangan saya,” katanya.

Terdahulu, ucapan seorang perwakilan UMNO Bahagian Sepang pada PAU 2026 mengundang kritikan selepas menggunakan analogi yang dikaitkan dengan agama ketika membahaskan isu politik parti. – UTUSAN

Scroll to Top