La gourmet perkasa bakat individu autisme menerusi kempen ‘A Caring Heart’

KUALA LUMPUR – Bermula dengan usaha mengenal pasti keupayaan dan bakat individu autisme, kempen ‘A Caring Heart’ oleh La gourmet kini meneruskan komitmen dalam aspek pembangunan kemahiran dan pemerkasaan.

Pengarah Urusan La gourmet & Katrin BJ Group of Companies, Jean Yeap berkata, menerusi inisiatif ini, pihaknya berharap dapat mengenal pasti dan mengembangkan bakat individu daripada golongan autisme.

Menurutnya, selain itu ia dapat membangunkan kemahiran yang bermakna dan mewujudkan peluang untuk mereka membina keyakinan diri serta mencapai tahap kebergantungan diri yang lebih tinggi.

“Impak yang ingin diwujudkan La gourmet pada tahun-tahun akan datang jauh melangkaui apa yang dapat dilihat pada hari ini.

“Oleh itu, sempena ulang tahun ke-31, La gourmet menutup kempen ‘A Caring Heart’ dengan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Gem & Bread Special Needs Support Group.

“Ia sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan syarikat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan memberikan impak bermakna kepada komuniti,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Jean Yeap, bukan sekadar sumbangan, dana berkenaan merupakan satu pelaburan terhadap potensi golongan autisme.

Jelasnya, sumbangan itu akan digunakan Gem & Bread bagi mendapatkan khidmat tenaga pengajar khusus serta membangunkan program untuk mengenal pasti dan mengembangkan keupayaan unik kanak-kanak dan golongan dewasa autisme.

“Keupayaan tersebut merangkumi bidang seni, pembuatan roti, masakan, muzik dan kemahiran praktikal.

“Daripada bertanya apa yang mereka tidak boleh lakukan, kita seharusnya bertanya, apakah yang mereka boleh lakukan? Kemudian berikan mereka sokongan dan peluang untuk melakukannya dengan baik,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kepercayaan itu diterjemahkan menerusi kisah Yaya, seorang artis muda autisme yang hasil lukisannya dipaparkan dalam Koleksi Ulang Tahun Ke-31 La gourmet.

Katanya, kisah Yaya menunjukkan bagaimana pengiktirafan terhadap keupayaan seseorang individu mampu mengubah bakat kepada keyakinan diri, tujuan hidup dan peluang.

“Perjalanan La gourmet dalam menyokong komuniti autisme bermula 12 tahun lalu menerusi Akhtar, seorang remaja autisme berbakat berusia 15 tahun daripada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

“Perkenalan itu menjadi titik permulaan kepada komitmen bermakna syarikat yang kemudiannya membawa kepada inisiatif Skill-Development Fund pada 2014.

“Hari ini, ‘A Caring Heart’ meneruskan komitmen tersebut dalam aspek pembangunan kemahiran dan pemerkasaan,” ujarnya.

Scroll to Top