am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Misteri rangka dalam tong biru yang disimen di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, Machap Baru, di sini, Ahad lalu terbongkar apabila polis mengesahkan ia sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, bedah siasat yang memasuki hari kedua hari ini mengesahkan rangka dan tengkorak yang ditemukan milik manusia.
“Pemeriksaan turut menemukan pakaian lengkap termasuk kain, baju dan seluar bersama rangka itu.
“Namun setakat ini jantina serta punca kematian masih belum dikenal pasti dan polis masih menunggu keputusan lanjut bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan misteri tong biru di tepi Empangan Durian Tunggal, Jalan Machap Baharu, terbongkar selepas ditemukan mengandungi rangka dipercayai manusia.
Tong itu dipercayai ditutup dengan simen, manakala rangka terbabit dianggarkan sudah berada di dalamnya sekurang-kurangnya tiga minggu.
Ahmad berkata, tong biru itu ditemukan tiga pemancing berusia 25 hingga 35 tahun jam 11.40 pagi ketika berada di kawasan empangan berkenaan.
Katanya, mereka yang curiga dengan tong itu kemudian memotong sedikit bahagian atas sebelum melihat sesuatu yang dipercayai tulang manusia sebelum menghubungi polis.
Pemeriksaan awal polis mendapati bahagian atas tong mempunyai kesan simen, manakala tengkorak ditemukan berasingan tanpa tisu yang melekat pada tulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
