am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Dua bekas banduan yang sudah dibebaskan sejak tiga tahun lalu sekali lagi ditahan selepas terbabit dengan 11 kes jenayah, termasuk pecah rumah, pecah kedai, samun stor simpanan tapak projek dan curi ‘parcel’ di sekitar daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Saifullah Jaya@Yahaya berkata, kedua-dua suspek tempatan berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan di sekitar Tanjung Kupang serta Kangkar Pulai, 5 September lalu.
Katanya, penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan laporan polis diterima pada 4 September lalu berkaitan kejadian pecah rumah di Forest City Starview, Gelang Patah.
“Kedua-dua suspek yang berasal dari utara tanah air dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, Kedah pada 2023 atas kesalahan jenayah dan dadah.
“Mereka kemudian datang ke Johor untuk bekerja kilang pada awal tahun dan diberhentikan pada Mac lalu sebelum terbabit dalam kegiatan jenayah di daerah ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Saifullah berkata, siasatan mendapati, suspek bergiat aktif pada awal pagi dengan menyasarkan rumah tidak berpenghuni selain mencuri bungkusan pos selain lampin pakai buang.
“Suspek pernah menyamun sebuah tapak pembinaan pusat data di Gelang Patah pada 28 Julai lalu dengan mengikat pengawal keselamatan sebelum menyamun tembaga bernilai RM50,000.
“Hasil penahanan suspek, kami merampas sebuah komputer riba bersama beg, tiga kamera pelbagai jenama, empat telefon bimbit, salinan surat pajak, salinan resit jual emas serta beberapa barangan lain,” katanya.
Turut dirampas dua utas rantai masing-masing berwarna kekuningan dan perak berserta loket, lima pasang anting-anting pelbagai saiz dan bentuk, sebuah Proton Waja serta dua helai resit jual tembaga.
“Dalang utama yang berusia 26 tahun mempunyai 11 rekod jenayah manakala suspek kedua memiliki 31 rekod jenayah. Kedua-duanya juga positif methamphetamine,” katanya.
Hasil penahanan suspek membolehkan polis menyelesaikan empat kes pecah rumah, satu kes pecah kedai, satu kes samun stor simpanan tapak projek, satu kes ceroboh rumah dan empat kes curi bungkusan pos.
Kedua-dua suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379, Seksyen 457, Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
