am@hmetro.com.my
Melaka: Aksi ‘manja’ pasangan berpelukan di sebuah kedai makan di Malim Jaya, di sini, yang tular di media sosial sejak semalam disiasat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan itu, termasuk status hubungan mereka.
“Pihak JAIM akan meneliti perkara ini dengan mengenal pasti pasangan terbabit terlebih dahulu, termasuk status hubungan mereka.
“Pada masa sama kita akan lihat sama ada perlakuan dalam video itu mempunyai unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam yang boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang syariah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, sekiranya pasangan terbabit suami isteri sekalipun, perlakuan sedemikian tetap tidak wajar dipamerkan secara terbuka kerana perlu menjaga adab dan kesopanan.
“Perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.
Terdahulu, satu klip video berdurasi 11 saat tular memaparkan seorang lelaki melentokkan kepala di bahu wanita sebelum kepalanya dirangkul dan dibelai mesra ketika berada di premis awam.
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan sebahagian netizen mengecam tindakan itu, selain turut mempersoalkan kesesuaian aksi terbabit dilakukan di tempat awam.
Selain itu, terdapat dakwaan pasangan terbabit adalah pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di sekitar Malim Jaya, namun perkara itu belum dapat disahkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

