SHAH ALAM – Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil elektrik pengguna, menurut
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebaliknya ia disebabkan perubahan bil bulanan yang dipengaruhi oleh corak penggunaan peralatan elektrik terutama ketika musim perayaan, cuti sekolah dan amalan bekerja dari rumah (WFH).
TNB berkata, AFA yang diperkenalkan pada 1 Julai 2025 susulan penstrukturan tarif elektrik bagi menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bukan caj tambahan baharu dan tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB.
Jelasnya, mekanisme tersebut berfungsi secara dua hala bagi mengimbangi perubahan kos bahan api serta kadar tukaran mata wang asing.
“Apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat dan jumlah penjimatan dipulangkan secara terus menerusi bil elektrik.
“Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April lalu.
“Bila kos bahan api global meningkat pula, perbezaan kos diselaraskan melalui kadar surcaj. Surcaj hanya mula dikenakan pada Mei lepas apabila kos penjanaan meningkat berikutan krisis di Asia Barat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila pengguna memuat naik bil elektrik yang didakwa melambung tinggi berbanding kebiasaan.
Mengulas lanjut, TNB memaklumkan, pengguna domestik dengan penggunaan 600 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada AFA, sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj.
Pihaknya menambah, pengguna dalam julat berkenaan turut dikecualikan daripada cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus dan Caj Peruncitan.
“Malah di bawah tarif baharu ini, kumpulan tersebut membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif sebelum, bergantung tahap penggunaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, TNB berkata, pengguna secara keseluruhannya menerima rebat AFA berjumlah RM3.1 bilion sejak mekanisme tersebut diperkenalkan, berbanding surcaj sebanyak RM800 juta.
Ujar TNB, kerajaan turut menyalurkan tambahan RM435 juta menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi mengurangkan impak surcaj AFA kepada pengguna.
“Kadar AFA bagi September 2026 adalah surcaj 3.67 sen/kWj. Maklumat dikemas kini dan dikongsikan setiap bulan menerusi portal www.mytnb.com.my/tariff selepas mendapat pengesahan Suruhanjaya Tenaga (ST).
“TNB turut menyarankan pengguna memantau penggunaan elektrik secara bulanan dan harian menerusi aplikasi myTNB, khususnya bagi pengguna meter pintar,” katanya.
TNB turut menasihatkan pengguna supaya menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius, menggunakan pemasa serta memilih peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.
“Selain itu, pengguna boleh beralih kepada skim Masa Penggunaan (TOU) bagi menikmati kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak, iaitu antara pukul 10 malam hingga 2 petang dari Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.
“Bagi penjimatan jangka panjang, kami mencadangkan pemasangan solar bumbung menerusi inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home yang menawarkan rebat hingga RM3,000 bagi sistem 5kWac dengan tempoh pulangan modal kira-kira lapan tahun,” katanya.
