Arab Saudi keluar amaran ‘potensi bahaya’ di tiga bandar

ISTANBUL – Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan ‘potensi bahaya’ di Jeddah, Makkah dan Taif di bahagian barat negara itu.

Memetik laporan Anadolu Ajansi, Platform Amaran Awal Kebangsaan bagi Kecemasan Arab Saudi menggesa penduduk supaya berlindung serta mematuhi arahan keselamatan rasmi.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan jenis atau bentuk potensi bahaya berkenaan.

“Penduduk digesa supaya bertenang dan segera menuju ke tempat selamat yang terdekat, sebaik-baiknya di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh dari tingkap serta kekal di situ hingga reda.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung, manakala mereka yang berada di luar bangunan diminta masuk ke dalam bangunan terdekat atau berlindung di sebalik penghadang kukuh.

“Pemandu diminta memberhentikan kenderaan di tempat yang jauh daripada jambatan dan bangunan tinggi, manakala orang ramai digesa mengelakkan perhimpunan serta kawasan berbahaya sambil mengikuti arahan menerusi saluran rasmi,” katanya pada Selasa.

Amaran tersebut dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak.

Kumpulan berkenaan didakwa melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron ke atas bandar serta infrastruktur di Arab Saudi sejak kebelakangan ini.

Tentera Arab Saudi pula bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Houthi di Yaman.

Bagaimanapun selepas setengah jam amaran tersebut dikeluarkan, Pertahanan Awam Arab Saudi mengumumkan situasi kecemasan di Bandar Makkah telah berakhir dan ancaman juga berjaya ditangani.

Namun, pihaknya menasihati penduduk untuk terus mematuhi garis panduan yang diberi selain mengelakkan kawasan sesak serta tidak merekod atau memfilemkan apa jua situasi.

Orang awam juga dinasihatkan untuk menghubungi talian 911 sekiranya berlaku kecemasan.

Scroll to Top