Pembayar cukai AS tanggung 40,000 bom Israel

WASHINGTON: Pembayar cukai Amerika Syarikat (AS) dijangka menanggung kos pakej senjata bernilai AS$2.8 bilion (RM11.3 bilion) untuk Israel yang merangkumi 40,000 bom seberat 907 kilogram (kg).

Menurut The Washington Post, pakej yang disediakan pentadbiran Presiden Donald Trump itu antara penjualan terbesar bom seberat 2,000 paun kepada Israel dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Seorang pegawai AS yang dipetik akhbar itu berkata, penghantaran berkenaan turut merangkumi MK-84 dan BLU-117.

Sebanyak 20,000 kepala peledak ‘I-2000 Penertator’ juga akan dihantar kepada Israel sebagai sebahagian daripada pakej tersebut.

Bom MK-84 antara senjata paling memusnahkan dalam simpanan senjata Barat dan mampu menghasilkan kemusnahan besar di kawasan sasaran.

Senjata itu mampu menembusi struktur logam dan konkrit tebal, dengan serpihan logamnya boleh tercampak sehingga ratusan meter serta menghasilkan kawah besar apabila meletup.

Cadangan penjualan itu dikemukakan secara tidak rasmi kepada jawatankuasa Kongres, yang berpotensi meletakkan Parti Demokrat dalam situasi sukar memandangkan rasa kecewa semakin meningkat terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menjejaskan hubungan antara AS dan Israel.

Cadangan tersebut turut mengundang kritikan dalam kalangan wartawan dan pengulas politik di media sosial.

Pakej senjata itu mengatasi nilai beberapa penjualan AS kepada Israel sebelum ini, termasuk perjanjian bernilai AS$2.04 bilion (RM8 bilion) pada 2025 yang diluluskan tanpa melalui semakan biasa oleh Kongres.

Israel pernah menggunakan bom seberat 907 kg itu dalam ratusan serangan yang mengakibatkan kesan dahsyat terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan.

Scroll to Top