Terlanggar rakan, pengsan ketika terjun udara dari ketinggian lebih 3,000m

London: Seorang wanita terselamat selepas terlanggar rakan penerjun dan pengsan ketika melakukan terjun udara bebas dari ketinggian 3,657 meter sebelum tersedar lalu membuka payung terjunnya pada saat genting, lapor People.

Ketika muncul dalam rancangan This Morning di United Kingdom (UK) pada Isnin, Holly Wiffen mengimbas kembali detik menakutkan apabila payung terjunnya terbuka beberapa saat sebelum dia terhempas di atas pokok konifer.

Wiffen, 35, dari Okehampton, Devon, menyertai aktiviti terjun udara berkumpulan pada 7 Ogos lalu sebelum kejadian itu berlaku.

Dia terlanggar rakan penerjun sejurus selepas keluar dari pesawat sebelum jatuh pada kelajuan sehingga 241 kilometer sejam.

Wiffen kemudian jatuh sejauh 3,048 meter sebelum sedarkan diri dan sempat membuka payung terjunnya.

Dalam kejadian itu, dia mengalami patah kaki serta retak tulang belakang.

Ketika ditanya mengenai perasaannya selepas menonton semula video kejadian itu, Wiffen berkata, pengalaman berkenaan sangat aneh untuk ditonton dan kelihatan seperti tidak masuk akal.

Rakan penerjun Wiffen cuba mengejarnya selepas menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku.

Ketika ditanya sama ada dia terus pengsan selepas pelanggaran, Wiffen berkata, kejadian itu berlaku serta-merta sehingga pandangannya menjadi gelap.

“Saya hanya bermimpi sedang jatuh. Ia terasa sangat tidak masuk akal. Saya cuma berfikir, ‘Oh, saya sedang jatuh dan bermimpi tentang jatuh.’ Ia terasa agak tenang,” katanya.

Dia berkata, dia berasa sedikit tidak stabil ketika kejadian itu sebelum teringat semula latihan yang pernah diikutinya untuk membuka payung terjun.

“Saya tidak sedarkan diri dan tertidur,” katanya sambil mengesahkan bahawa dia sempat membuka payung terjun utama sebelum Peranti Pengaktifan Automatik (AAD) berfungsi dan mengeluarkan payung terjun simpanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top