UEFA cari pencabar Infantino

Madrid: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) masih berusaha mencari calon berwibawa untuk mencabar Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino pada pemilihan badan induk bola sepak dunia itu Mac depan.

Naib Presiden UEFA, Laura McAllister berkata calon berkenaan tidak semestinya dari Eropah, namun perlu mempunyai kemampuan untuk menewaskan Infantino, menyatukan semua konfederasi dan melaksanakan pembaharuan tadbir urus secara berkekalan.

Beliau berkata usaha UEFA bukan untuk meletakkan tokoh Eropah sebagai pencabar semata mata, sebaliknya membina sokongan terhadap calon yang mempunyai program pembaharuan jelas.

“Saya rasa tidak. Kami sentiasa tahu perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Itu sesuatu yang naif. Kami tahu akan ada tentangan terhadap perubahan.

“Kami bergerak langkah demi langkah, dari sudut perundangan dalam konteks politik berkaitan calon alternatif dan dari segi program pembaharuan tadbir urus yang perlu kita lihat,” katanya kepada Reuters pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid.

Infantino, 56, berdepan cabaran terbesar terhadap kepimpinannya selepas cadangan FIFA untuk menjual sehingga 20 peratus kepentingan dalam pertandingan FIFA, termasuk Piala Dunia, kepada pelabur swasta mendapat tentangan hebat.

UEFA, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan CONCACAF antara badan yang menyuarakan keperluan perubahan di peringkat kepimpinan FIFA, manakala beberapa persatuan bola sepak Eropah turut menarik balik sokongan terhadap usaha pemilihan semula Infantino.

McAllister berkata negara anggota UEFA kekal bersatu dalam usaha mengubah cara FIFA ditadbir, namun menegaskan isu berkenaan bukan hanya berkaitan individu tertentu.

“Ini sentiasa lebih besar daripada seorang individu,” katanya.

Menurutnya, UEFA melihat agenda pembaharuan sebagai perkara lebih penting berbanding identiti atau kewarganegaraan calon yang bakal diketengahkan.

“Kami mahu mencari calon yang boleh menyatukan semua konfederasi kerana bukan UEFA saja. Semua konfederasi merasakan keperluan perubahan itu penting.

“Calon itu kemudiannya perlu tampil dengan manifesto pembaharuan dan pemodenan,” katanya.

Infantino sebelum ini mengumumkan akan bertanding untuk penggal baharu pada pemilihan Mac depan dan McAllister menegaskan pencabar perlu benar benar mempunyai kemampuan untuk memenangi pemilihan, bukan sekadar mencipta saingan simbolik.

“Jika penyandang sudah mengesahkan akan bertanding, dan Gianni Infantino sudah menjelaskan beliau akan menjadi calon dalam pemilihan kecuali sesuatu berlaku sebelum Mac depan, maka menjadi tanggungjawab pihak yang menentangnya untuk mendapatkan calon yang tepat.

“Anda tidak bertanding dalam pilihan raya jika anda tidak mampu memenanginya,” katanya.

McAllister turut menegaskan UEFA tidak akan memaksa calon pencabar datang dari Eropah sekiranya tokoh pembaharuan yang berwibawa muncul dari konfederasi lain.

“Ini mengenai program perubahan dan saya fikir kita perlu memastikan perkara itu betul terlebih dahulu.

“Kita perlu mempunyai garis panduan yang benar benar jelas mengenai rupa tadbir urus baik dalam bola sepak global dan ia bukan seperti apa yang kita lihat daripada FIFA sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata agenda pembaharuan perlu merangkumi akauntabiliti dan ketelusan lebih tinggi, pengiktirafan yang sewajarnya terhadap konflik kepentingan, perlindungan lebih kukuh terhadap pemberi maklumat serta kepimpinan yang lebih pelbagai.

Ditanya sama ada UEFA boleh terus bekerjasama dengan Infantino sekiranya beliau dipilih semula, McAllister berkata bola sepak Eropah kekal sebagai kuasa penting dalam bola sepak dunia, namun kepimpinan FIFA perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

“Jika beliau dipilih, kita berharap beliau sudah mengambil pengajaran daripada tempoh yang dilihat dunia bola sepak sebagai krisis kewujudan sebenar,” katanya.

FIFA atau Infantino tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Reuters untuk mengulas perkara itu.

McAllister berkata UEFA kini akan memberi tumpuan untuk meyakinkan komuniti bola sepak dunia mengenai keperluan perubahan dalam cara sukan itu ditadbir.

“Keutamaan kita sekarang ialah meyakinkan dunia bola sepak bahawa ia adalah milik mereka, tetapi kita memerlukan perubahan budaya dalam cara permainan ini ditadbir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top