KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) masih terperangkap dengan masalah ‘kesilapan sendiri’ sehingga tersingkir awal dalam saingan Piala FA musim 2026/2027.
Dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, kelmarin, DPMM FC mempamerkan aksi kebangkitan untuk menyingkirkan TFC di pusingan 16 Piala FA selepas merekodkan kemenangan 3-1.
Kemenangan di laman lawan itu menyaksikan DPMM melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik dengan agregat 5-4, walaupun ketinggalan 2-3 pada aksi pertama pusingan itu di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah.
Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, walaupun secara keseluruhan anak buahnya bermain agak baik dan mencipta peluang, kesilapan sendiri menyebabkan DPMM mengambil kesempatan menjaringkan gol.
Katanya, TFC bermula baik pada babak awal permainan namun kelemahan ketika bertahan terutama dalam menyerap tekanan lawan perlu diperbaiki segera.
“Dua gol pada babak kedua berpunca daripada kesilapan kita sendiri ketika menyerang. Kita kehilangan bola dan pihak lawan melakukan serangan balas, di situ kelemahan kita apabila memberikan ruang kepada pihak lawan untuk melakukan jaringan,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Nafuzi, tempoh rehat panjang akan dimanfaatkan untuk melakukan penilaian semula dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi mengharungi perlawanan-perlawanan seterusnya dalam Liga Malaysia.
Sebelum ini dalam aksi kedua Liga Super di laman sendiri, Nafuzi turut menyifatkan kesilapan sendiri pemainnya membuka ruang kepada Selangor FC menundukkan TFC 3-0.
Sementara itu, pengendali DPMM FC, Jamie McAllister berkata, arahan ketika rehat supaya pemainnya mengawal penguasaan bola dan berdisiplin ketika bertahan menjadi kunci kejayaan pasukan itu menumbangkan TFC di tempat lawan.
Katanya, DPMM berjaya menjaringkan dua gol pada babak kedua dan bertahan dengan baik dalam tempoh 10 hingga 15 minit terakhir.
“Pemain juga mengawal permainan walaupun tanpa bola dan memberikan ancaman menerusi serangan balas.
“Saya rasa kami benar-benar layak mendapat keputusan ini. Kami mencipta banyak peluang dan ia adalah perlawanan sukar buat para pemain kerana TFC pasukan yang kuat,” katanya. – UTUSAN

