Warga China ditahan cuba curi dompet penumpang dalam pesawat

am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Lelaki warga China ditahan selepas dipercayai cuba mencuri dompet milik penumpang warga Indonesia ketika dalam penerbangan dari Jakarta ke negeri ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun berhubung kejadian itu hari ini.

Katanya, ketika dalam penerbangan, pengadu melihat seorang lelaki mengambil beg miliknya dari ruang simpanan di bahagian atas pesawat sebelum membuka beg berkenaan dan mengambil dompet milik pengadu.

“Pengadu sempat merakam kejadian itu sebelum memaklumkannya kepada kru pesawat.

“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek berusia 55 tahun itu hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anuwal berkata, tiada kehilangan atau kerugian dilaporkan dan semua barangan milik pengadu sudah diperoleh semula.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan kes.

“Sehubungan itu orang ramai dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan memastikan barangan peribadi berada dalam keadaan selamat, khususnya ketika menggunakan pengangkutan awam,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top