Landasan KKIA dibuka semula, operasi kembali pulih

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dibuka semula pada jam 11 malam ini selepas kerja pembaikan dan pemeriksaan keselamatan selesai dilaksanakan.

Malaysia Airports menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan, operasi landasan disambung semula selepas pemeriksaan keselamatan terakhir mengesahkan ia selamat digunakan.

“Penumpang yang melakukan perjalanan dari dan ke lapangan terbang dinasihatkan supaya menyemak status serta perkembangan terkini penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, landasan KKIA ditutup sementara bagi membolehkan kerja penting dilaksanakan, namun hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja berkenaan.

Penutupan itu menyebabkan 20 penerbangan terjejas, manakala Malaysia Airports bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan operasi dan membantu penumpang terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top