Landasan KKIA ditutup sementara, 20 penerbangan terjejas

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) masih ditutup sementara bagi membolehkan kerja penting diselesaikan dengan selamat.

Malaysia Airports dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja di landasan berkenaan.

Menurutnya, penutupan sementara itu menyebabkan 20 penerbangan terjejas hari ini.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan terhadap operasi dan membantu penumpang yang terjejas.

“Keselamatan kekal menjadi keutamaan dan operasi penerbangan hanya akan disambung selepas landasan disahkan selamat digunakan,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, penumpang dinasihati menyemak status terkini penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Sementara itu, Malaysia Airports turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku serta menghargai kesabaran dan pemahaman penumpang.

Terdahulu, Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) dikeluarkan berhubung penutupan sementara landasan KKIA bagi membolehkan kerja pembaikan, pemeriksaan keselamatan dan pembersihan dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top