am@hmetro.com.my
Marang: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan akan membuktikan kenyataan mengenai dakwaan tawaran kerjasama Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014 di mahkamah.
“Terpulanglah kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses pendakwaan.
“Setakat ini iaitu selepas proses memberi keterangan selesai dilakukan, kita tidak menerima apa-apa perkembangan daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman dilaporkan berkata, Abdul Hadi sudah memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai siasatan atas dakwaan tawaran kerjasama Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi pada ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-72 pada 5 September lalu mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.
Bagaimanapun, Kedutaan AS menafikan dakwaan Abdul Hadi yang mendakwa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan BN.
David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan AS di Kuala Lumpur, menyatakan negaranya tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, proses memberi keterangan dilakukan di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur.
“Proses memberi keterangan berlangsung tidak sampai pun satu jam dan jawapan kita adalah akan serahkan bukti di mahkamah.
“Kita akan serahkan bukti kepada mahkamah, tetapi setakat ini tiada sebarang maklumat mengenai proses pendakwaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

