Tular wanita hampir ditikam dalam tandas TBS, polis belum terima laporan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan tiada laporan dibuat berhubung hantaran tular dimuat naik seorang wanita mendakwa diganggu lelaki bersenjatakan pisau di dalam tandas wanita di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini.

Seorang pengguna laman Threads membuat hantaran mendakwa seorang lelaki cuba menikamnya ketika dia bersendirian dalam tandas wanita jam 3.20 pagi tadi.

​Dalam hantaran itu, individu terbabit mendakwa dia sedang menunggu bas dijadualkan bertolak pada jam 4.15 pagi.

Ketika dia ke tandas, lelaki bersenjatakan pisau itu didakwa cuba membuka pintu tandasnya.

​Individu itu mendakwa lelaki terbabit melarikan diri selepas panik apabila mendengarnya menjerit sekuat hati.

Namun katanya, tiada saksi lain yang melihat kejadian itu.

​Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan tiada laporan diterima berhubung hantaran tular itu.

​”Hasil semakan setakat ini mendapati tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak. Sekiranya ada laporan nanti, kami akan kemas kini semula,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top