KUALA LUMPUR – Pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka menikmati penjimatan sehingga RM47 sebulan atau hampir 13 peratus pada bil elektrik Oktober ini susulan peningkatan aras perlindungan penggunaan elektrik yang diumumkan kerajaan.
Peningkatan aras perlindungan tersebut membabitkan pengecualian caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10 bagi pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) berbanding 600kWj sebulan sebelum ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, penjimatan berbeza mengikut jumlah penggunaan elektrik setiap pengguna.
“Dengan perluasan zon perlindungan ini, diharapkan lebih ramai pengguna akan dapat mengawal bil masing-masing dan mengurangkan beban daripada pihak pengguna.
“Pengguna yang menggunakan 601 kWj akan menyaksikan bil elektrik berkurang daripada RM258.40 kepada RM225.50, iaitu penjimatan RM32.90 sebulan.
“Bagi penggunaan 650 kWj, bil menurun daripada RM280.20 kepada RM243.90 (jimat RM36.30),” katanya.
Tambah beliau, isi rumah yang menggunakan 700 kWj akan membayar RM276.85 berbanding RM316.75 sebelum ini, menjimatkan RM39.90.
“Penggunaan 750 kWj pula mencatat penurunan bil daripada RM347.85 kepada RM304.30, bersamaan penjimatan RM43.55.
“Bagi penggunaan maksimum dalam kategori perlindungan baharu, iaitu 800 kWj, bil elektrik dikurangkan daripada RM375.85 kepada RM328.60, memberikan penjimatan tertinggi sebanyak RM47.25 sebulan,” katanya.
Beliau berkata ketika Taklimat Media Mengenai Mekanisme Pelindungan Tambahan Buat Pengguna Domestik Elektrik, di sini, pada Jumaat.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had 600 kWj sebelum ini.
Perlindungan tambahan tersebut berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.
Bagi penggunaan September, jumlah pengurangan caj akan dikreditkan dalam bil elektrik bulan Oktober.
Langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik TNB, termasuk hampir satu juta pengguna tambahan berbanding aras perlindungan sebelum ini pada 600kWj sebulan.