Strategi ‘comeback’ SMK Bercham buah hasil, bawa hasrat Jelajah TV PSS x Malaysia100

Strategi ‘comeback’ SMK Bercham buah hasil, bawa hasrat Jelajah TV PSS x Malaysia100

KLANG – Percaturan dan strategi penganjuran comeback yang disusun sejak dua tahun lalu akhirnya membuahkan hasil manis apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bercham dinobatkan sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik (Sekolah Menengah) pada Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026.

Pengetuanya, Mohd Zuhair Azuar Arifin berkata, susulan kejayaan meraih gelaran Naib Johan pada tahun 2024, pihak sekolah mula mengatur strategi sepanjang tahun 2025 dengan memfokuskan kepada kriteria penilaian tertentu seperti aspek lakonan dan pengacaraan.

“Alhamdulillah, usaha tersebut membuahkan hasil pada tahun 2026 apabila kami berjaya meraih kejayaan cemerlang. Hampir kesemua kategori dipertandingkan berjaya dimenangi sebagai johan, manakala satu kategori iaitu Pelakon Terbaik meraih naib johan.

Strategi ‘comeback’ SMK Bercham buah hasil, bawa hasrat Jelajah TV PSS x Malaysia100

Mohd Zuhair Azuar

“Kejayaan ini dijayakan oleh seramai 15 pelajar PSS bersama empat guru pembimbing di bawah semangat #demijiwaberchampian. Kami juga amat terhutang budi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara yang banyak membantu kebitaraan sekolah,” katanya.

SK Panudahan bukti keupayaan sekolah pedalaman

​Sementara itu, kekurangan kemudahan di sekolah pedalaman bukan penghalang untuk menyerlahkan potensi diri, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan Kudat, Sabah hingga dinobatkan Johan Kategori Video TV PSS Terbaik (Sekolah Rendah) pada Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026.

​Guru Penyelaras PSS SK Panudahan, Mohd Khairul Azree Mohd Darawi berkata, rahsia kejayaan pasukan TV PSS ‘Ramisan’ sekolah itu adalah dengan mengetengahkan realiti dan kisah kehidupan seharian di sekolah pedalaman.

​”Kami mahu ketengahkan cerita sekolah pedalaman mengenai bagaimana kami melalui hari-hari yang penuh dengan kekurangan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah di bandar.

​”Dari kekurangan itulah kami mahu tonjolkan bahawa kami juga mampu bersaing bersama sekolah-sekolah hebat di bandar. Kekurangan itu bukan satu halangan, sebaliknya kami berjuang bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada majlis kemuncak festival berkenaan di Hotel Premiere, Bukit Tinggi di sini.

Mohd Khairul Azree

Mohd Khairul Azree

​Mohd Khairul Azree yang dibantu seorang lagi guru penyelaras, Mohamad Harith Janius berkata, walaupun berdepan kekangan, sokongan penuh daripada Guru Besar SK Panudahan, Palajuman Mongangkim menjadi pendorong utama kejayaan mereka.

​Beliau berkata, secara keseluruhan kru TV PSS sekolah itu dianggotai seramai 10 murid, namun hanya empat orang murid dipilih mewakili sekolah ke festival berkenaan iaitu Enelyvia (Tahun 5) serta Oliver, Elverdo dan Deashea yang kesemuanya murid Tahun 6.

​”Walaupun dari segi kuantiti kami kurang, kami mahu memberikan kualiti yang terbaik,” katanya.

​Kejayaan cemerlang SK Panudahan itu sekali gus membuktikan sokongan padu dan kesungguhan warga sekolah pedalaman mampu membuahkan hasil membanggakan di peringkat kebangsaan.

Festival anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM) itu berlangsung di Hotel Premiere, Bukit Tinggi di sini dari 22 hingga 25 September 2026 dengan menghimpunkan lebih 40 murid dan guru daripada 30 sekolah di seluruh negara.

Kemuncak majlis yang bertemakan ‘Kemanusiaan, Kemasyarakatan dan Hormat-menghormati’ itu diserikan dengan keberangkatan Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj bersama Datin Hezeita Mohd Hafidz.

Majlis kemuncak itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, Pengarah BSTP, Aniza Kamarulzaman, serta wakil rakan strategik utama program, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

PAAB merupakan rakan strategik Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2026, manakala penganjuran turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk GGR Motor Sdn Bhd, Nemo Manja Fragrance, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Ablefarm, Samudra Food, Sasbadi dan LAMA.

​Penganjuran festival ini terus memperkukuh peranan TV PSS sebagai platform pendidikan yang menggabungkan kreativiti, komunikasi, teknologi dan nilai kemanusiaan dalam melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing.

Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan, Sabah dinobatkan sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik bagi kategori sekolah rendah. Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan, Sabah dinobatkan sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik bagi kategori sekolah rendah. Foto: Mohd Halim Abdul Wahid

Senarai keputusan:

Kategori video TV PSS terbaik (Sekolah Rendah)

Sekolah Kebangsaan (SK) Panudahan, Sabah dinobatkan sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik bagi kategori sekolah rendah.

Naib Johan disandang SK Putrajaya Presint 5(1), Wilayah Persekutuan Putrajaya, manakala SK Bukit Gambir, Pulau Pinang meraih tempat Ketiga.

Tempat Keempat dan Kelima masing-masing dimenangi SK Bandar Jerantut, Pahang dan SK Long Lapok, Sarawak.

Kategori video TV PSS terbaik (Sekolah Menengah)

Bagi kategori sekolah menengah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bercham, Perak muncul sebagai Johan Kategori Video TV PSS Terbaik.

Kedudukan Naib Johan diraih SMK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tempat Ketiga menjadi milik SMK Agama Haji Mohd Yassin, Johor.

SMK Putrajaya Presint 9(2), Wilayah Persekutuan Putrajaya menduduki tempat Keempat, diikuti SMK Pendidikan Khas Setapak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat Kelima.

Kategori Guru TV PSS Terbaik

Bagi Kategori Guru TV PSS Terbaik, wakil SMK Bercham, Perak mengungguli persaingan di tempat Pertama (Johan).

Tempat Naib Johan dimenangi wakil SMK Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan, manakala tempat Ketiga diraih wakil SMK Dato’ Razali Ismail, Terengganu.

Tempat Keempat disandang wakil SMK Seri Pekan, Pahang, manakala tempat Kelima diraih wakil SMK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Scroll to Top