Najib ucap takziah kepada Anwar atas pemergian abang

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menzahirkan ucapan takziah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga atas pemergian abang Anwar, Idrus Ibrahim.

Najib berkata, kehilangan anggota keluarga yang bersama melalui sebahagian besar perjalanan hidup pastinya sukar untuk diterima.

“Takziah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh keluarga atas pemergian abang kandung beliau, Allahyarham Idrus Ibrahim.

“Kehilangan seorang ahli keluarga yang telah bersama kita melalui begitu banyak perjalanan hidup tentunya amat berat untuk diterima,” katanya menerusi media sosial malam ini.

Bekas Perdana Menteri itu turut mendoakan supaya Anwar dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi waktu dukacita itu.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Semoga Datuk Seri Anwar dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi saat dukacita ini,” katanya.

Terdahulu, Anwar menerima berita pemergian abangnya ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari China selepas mengadakan lawatan kerja selama tiga hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top