MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan kepada takdir dalam menentukan hala tuju politiknya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan Rabu lalu.
ADUN Merlimau itu menerusi hantaran di media sosial pada Khamis turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan berkenaan atas sokongan yang diberikan kepadanya.
“Terima kasih Merlimau. Selepas ini ke mana? Kekal di Merlimau atau ke DUN lain? Atau berehat? Moga ALLAH SWT berikan petunjuk yang terbaik. Terima kasih dan terima kasih,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa Rabu lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebelum ini Akmal menyatakan pendirian tegas tidak akan bertanding pada PRN Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama pada pilihan raya itu.
Beliau berkata, pendirian berkenaan dibuat kerana lebih mengutamakan prinsip perjuangan berbanding jawatan sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan belum memuktamadkan kerjasama politik dengan mana-mana parti menghadapi PRN.
Ab Rauf berkata, setakat ini BN belum memaklumkan belum memulakan rundingan itu.
Bagaimanapun walaupun belum menetapkan tarikhnya tetapi beliau memberi jaminan perundingan berkenaa akan diadakan dalam tempoh terdekat.
PRN15 lalu menyaksikan Akmal menang majoriti 3,248 undi menewaskan Azrin Ab Majid (PH) dan Abd Alim Shapie (PN).
