Tabung Pendidikan Negeri Sabah salur RM40 juta sejak 2022

olivia@nst.com.my

Kota Kinabalu: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sudah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada Jun 2022, dengan manfaat diterima 27,781 pelajar di seluruh negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini pula, seramai 11,383 penerima mendapat bantuan berjumlah RM15.89 juta.

Katanya, TPNS yang diwujudkan menerusi tema ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’ menjadi instrumen penting dalam memperluas akses kepada bantuan pendidikan.

“Tabung ini penting kerana kita bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk meneruskan pengajian, mencapai cita-cita dan membina masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan pelancaran Sistem Aplikasi Pintar TPNS di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Hajiji berkata, sistem pendidikan yang kukuh dan berkualiti amat penting bagi pembangunan Sabah, dengan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM155 juta tahun ini untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), khususnya bagi memberi manfaat kepada pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, peruntukan itu lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta yang diperuntukkan pada 2020.

“Sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan turut diperkenalkan antara 2021 hingga 2025, termasuk Bantuan Pendidikan (BUDI), Program Bantuan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan bagi pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak serta Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Sistem Aplikasi Pintar TPNS yang dilancarkan hari ini membolehkan permohonan bantuan TPNS dibuat sepenuhnya secara dalam talian, selain pemohon boleh menyemak status permohonan secara masa nyata.

“Dengan kemudahan ini, proses permohonan dijangka menjadi lebih mudah, pantas dan tersusun, khususnya bagi anak-anak Sabah di seluruh negeri, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Hajiji turut meminta syarikat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Sabah supaya menyumbang kepada TPNS menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top