ZAYA buka laluan baharu pelancongan mesra Muslim

ZAYA buka laluan baharu pelancongan mesra Muslim

Kuala Lumpur: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pelancongan mesra Muslim menerusi kemunculan ZAYA, platform hospitaliti tempatan yang beraspirasi menghubungkan pengembara, penyedia perkhidmatan dan destinasi pelancongan di seluruh dunia.

Platform itu dilancarkan secara rasmi bersempena Global Halal Summit Malaysia 2026 (GHaS 2026) di Le Meridien Putrajaya, baru-baru ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperluas jaringan hospitaliti mesra Muslim Malaysia ke pasaran antarabangsa.

ZAYA dibangunkan sebagai ekosistem bersepadu yang merangkumi enam komponen utama iaitu penginapan, perjalanan, makanan, kesejahteraan, budaya dan pengalaman bagi memudahkan pengembara Muslim merancang perjalanan mengikut keperluan, nilai serta gaya hidup mereka.

Melalui pendekatan itu, platform berkenaan bukan sahaja memudahkan pengembara mendapatkan perkhidmatan hospitaliti yang bersesuaian, malah membuka peluang kepada pengusaha pelancongan tempatan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran Muslim antarabangsa.

Bagi penyedia hospitaliti dan pengurusan destinasi pula, ZAYA menawarkan ruang untuk membina jaringan kerjasama merentasi sempadan, sekali gus memperluas capaian perniagaan kepada kumpulan pengembara yang mengutamakan kemudahan serta pengalaman mesra Muslim.

Berteraskan aspirasi membawa dunia ke Malaysia dan menghubungkan Malaysia dengan dunia, ZAYA mahu membangunkan ekosistem hospitaliti yang menghubungkan manusia, budaya, perniagaan serta destinasi melalui teknologi dan kerjasama strategik.

Platform itu turut menyasarkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, bermula daripada proses mencari maklumat dan memilih perkhidmatan sehingga pengembara tiba di destinasi pilihan mereka.

Pelancaran ZAYA di GHaS 2026 turut memberi peluang kepada platform berkenaan memperkenalkan konsep hospitaliti mesra Muslim kepada khalayak antarabangsa yang terdiri daripada pemimpin kerajaan, pihak berkuasa Islam, badan pensijilan halal, pembuat dasar dan pemain industri.

Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pegawai Eksekutif ZAYA, Datuk Ada Poon.

Pemilihan GHaS 2026 sebagai pentas pelancaran antarabangsa turut membuka ruang kepada ZAYA untuk membina hubungan dengan pelbagai pihak dalam ekosistem halal global, khususnya bagi meneroka kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

Sebagai platform yang dibangunkan di Malaysia, ZAYA berhasrat mengembangkan operasinya menerusi kerjasama dengan penyedia hospitaliti, rakan industri pelancongan dan pengurusan destinasi di peringkat antarabangsa.

Usaha itu diharap dapat memperluas akses kepada pengalaman mesra Muslim, di samping membuka peluang kepada pengusaha tempatan menembusi pasaran global melalui jaringan digital dan kerjasama industri.

Dengan menggabungkan teknologi serta rangkaian perkhidmatan hospitaliti dalam satu ekosistem, ZAYA menyasarkan untuk menjadi penghubung antara pengembara dengan pengalaman perjalanan yang memenuhi keperluan mereka serta memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia kepada dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top