nuratikah@bh.com.my
Kuala Lumpur: Semua bentuk drama dan filem yang memaparkan perlakuan buli sehingga berisiko mencetuskan budaya ‘copycat’ dalam kalangan anak muda perlu dihentikan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kandungan sedemikian dikhuatiri mendorong anak muda untuk meniru perlakuan dan berlagak sebagai ‘kapla’, ‘taiko’ atau ‘otai’ dan sebagainya.
“Hentikanlah segala bentuk drama atau filem yang mempromosikan buli secara tidak langsung atas nama ‘pengajaran’ yang akhirnya membawa kepada perlakuan ‘copycat’ dalam kalangan anak muda berlagak kapla, taiko, otai dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada kes seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dilaporkan meninggal dunia, semalam disyaki mangsa buli.
Difahamkan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril Shahriul, 14, ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.
Mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilapor berkata, pihaknya sudah membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kes berkenaan.
Katanya, setakat ini seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
- GPMS Kuala Pilah gesa siasatan telus
- Pemimpin desak siasatan telus
- Pelajar maut di asrama sekolah dipercayai akibat dibuli
© New Straits Times Press (M) Bhd




