SHAH ALAM – Keperluan menjaga ibunya yang terlantar akibat strok menyebabkan seorang pemuda sanggup mengetepikan kerja sambilan serta rutin hariannya demi memberi perhatian sepenuhnya kepada wanita tersebut.
Bagi Muhammad Imran Mohd Noor, 25, pengorbanan itu bukan sesuatu yang membebankan kerana memberinya peluang meluangkan lebih banyak masa bersama ibunya, Che Puteh Ibrahim, 58, yang diserang strok sejak Julai lalu.
Pada masa sama, bapanya, Mohd Zain Abu Hasab, 74, turut mengalami masalah penglihatan pada kedua-dua mata dan tidak lagi berupaya bekerja.
“Bila saya panggil ibu dan dia pegang tangan saya walaupun sudah tidak boleh bercakap atau memberi respons seperti dahulu, itu memang sangat menyentuh hati saya.
“Saya tidak pernah rasa penat menjaga ibu. Saya cuma selalu teringat pesanannya supaya sentiasa berbuat baik kepada orang lain.
“Sekarang saya dapat melihat dan menjaga ibu di depan mata. Dapat melihat dia tersenyum pun sudah cukup memberikan kekuatan kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Imran bersama ibunya, Che Puteh dan ayahnya, Mohd Zain ketika bercuti di Kuala Lumpur pada tahun lepas.
Imran yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik berkata, dia memilih untuk tidak bekerja tetap sejak berusia 22 tahun bagi membantu menjaga kedua-dua ibu bapanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bersama lima abang dan dua kakaknya supaya beliau dapat berada di rumah serta mengurus keperluan harian keluarga.
Berkongsi detik yang mengubah kehidupan keluarganya, Imran berkata, keadaan ibunya berubah secara tiba-tiba apabila wanita itu mengadu pening dan sakit pada malam 24 Julai lalu sebelum pengsan pada awal pagi keesokan harinya.
“Sekitar jam 5 pagi, abang dan kakak membawa ibu ke Hospital Balik Pulau sebelum beliau pengsan kira-kira jam 7 pagi.
“Selepas itu, ibu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Ibu kemudian ditidurkan dan menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam otak. Selepas beberapa hari, beliau mula membuka mata dan menunjukkan tindak balas,” katanya.
Menurut Imran, keadaan ibunya kini semakin menunjukkan perkembangan positif terutama dari segi penglihatan dan pendengaran.
Bagaimanapun, beliau berkata, ibunya masih belum dapat bercakap kerana mempunyai tebukan pada bahagian tekak yang digunakan untuk rawatan.
Katanya, dia bersama adik-beradiknya bergilir-gilir menguruskan keperluan harian ibu termasuk menyediakan susu setiap tiga jam, memandikan, membersihkan diri, memberikan ubat cecair bagi mencairkan kahak serta membantu menyedut kahak apabila diperlukan.
“Bahagian paling mencabar ialah ketika menyedut kahak kerana ibu akan berasa sakit dan batuk.
“Namun saya tetap melakukannya demi memastikan keadaan ibu sentiasa terjaga,” katanya.
Menurutnya, rutin hariannya kini banyak berubah apabila aktiviti yang sebelum ini sering dilakukan bersama rakan-rakan seperti bermain bola sepak hanya dapat dilakukan kira-kira sekali seminggu.
Bagaimanapun, Imran menegaskan beliau tidak pernah menganggap tanggungjawab menjaga ibunya sebagai satu beban kerana hubungan mereka sememangnya rapat sejak kecil.
“Antara nasihat ibu yang paling saya ingat ialah sentiasa berbuat baik kepada orang lain dan jangan membalas keburukan dengan keburukan,” katanya.



