zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Enam individu terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas sebatang pokok tumbang menghempap dua kereta di Jalan Simpang Pulai-Lahat, berhampiran Station 18, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.26 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh tiba di lokasi kejadian, tiga minit kemudian.
“Kejadian itu membabitkan sebuah Perodua Bezza dan sebuah Perodua Alza. Kesemua enam penumpang berjaya keluar dari dua kenderaan berkenaan dengan selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sabarodzi berkata, orang awam membantu penumpang terbabit sebelum ketibaan anggota bomba.
“Anggota bomba sedang menjalankan operasi memotong bagi mengalihkan pokok yang tumbang itu,” katanya.
Operasi membabitkan tujuh anggota bomba dan dua kenderaan, iaitu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan kenderaan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
© New Straits Times Press (M) Bhd




