asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap pihak yang lebih berminat isu peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berbanding soal rasuah dan penjarahan harta negara.
Katanya, isu rasuah dan penjarahan harta negara adalah perkara lebih mendesak yang dihadapi negara dan bukannya mengenai peletakan jawatan Loke.
“Isu Anthony Loke ini… apa masalahnya? Beliau baru sahaja menyerahkan surat (peletakan jawatan) itu semalam dan apa masalahnya dengan Anthony Loke?
“Masalah sebenarnya adalah rasuah… perbuatan merompak dan menjarah harta negara. Perkara itu tidak pula dibangkitkan, sebaliknya orang terus mendesak supaya beliau meletak jawatan.
“Mengapa? Adakah mereka yang menjarah harta negara turut diminta meletak jawatan?” katanya kepada media selepas merasmikan majlis perasmian Persidangan dan Pameran Profesional (Profex 2026) di Pusat Konvensyen KLGCC di sini, hari ini.
Sementara itu, Anwar mempertahankan prestasi Loke dalam Kabinet dengan menyatakan beliau tidak melihat sebarang kesalahan dalam tugas menteri berkenaan.
Katanya, beliau akan membincangkan lebih lanjut perkara berkenaan peletakan jawatan itu dengan Loke.
Semalam, Loke menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet kepada Anwar.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, beliau akan terus menjalankan tugas buat sementara waktu sehingga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pulang untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Katanya, peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa pada hari Najib dibebaskan dari Penjara Kajang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




