Trio pecut lelaki negara terlepas gangsa

Trio pecut lelaki negara terlepas gangsa

sukan@hmetro.com.my

Nagoya: Pelumba negara, Fadhil Zonis, Ridwan Sahrom dan Akmal Jusena menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara pecut berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini.

Trio negara yang mencatat masa 44.341 saat (s) itu tewas kepada trio Hong Kong, Mok Tsz Chun, To Cheuk Hei dan Yung Tsun Ho (43.507s) dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa di Velodrom Izu, Shizuoka.

China yang dibarisi Jin Zhiheng, Liu Qi dan Li Zhiwei pula meraih pingat emas selepas mencatat 42.152s dalam final untuk menewaskan trio Jepun, Kaiya Ota, Kanata Takahashi dan Minato Nakaishi (42.511s).

Catatan itu turut menyaksikan China memecahkan rekod temasya buat kali kedua hari ini, selepas mereka terlebih dahulu mencipta rekod baharu 42.348s pada pusingan pertama.

Fadhil, Ridwan dan Akmal yang mencatat 44.210s pada pusingan pertama sebelum itu menewaskan trio Kazakhstan, Daniyar Shayakhmetov, Dmitriy Rezanov dan Kirill Kurdid (44.221s) untuk melayakkan diri ke perlumbaan penentuan tempat ketiga.

Malaysia memulakan saingan hari ini dengan menduduki tempat keenam dalam sesi kelayakan menerusi catatan 44.827s.

Terdahulu, Nurul Izzah Izzati Asri, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam acara pecut berpasukan wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top