Pusara Tun Hasmah terus diziarahi, rakyat hadir dengan doa dan rindu

Pusara Tun Hasmah terus diziarahi, rakyat hadir dengan doa dan rindu

PUTRAJAYA: Walaupun jasad Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sudah selamat disemadikan dua hari lalu, namun pusaranya di Pusara Negara, Presint 20 di sini terus menjadi tumpuan orang ramai.

Mereka yang hadir tidak kira peringkat umur membawa bersama doa, air mata dan kerinduan terhadap tokoh wanita yang amat disayangi rakyat itu.

Seawal pukul 7 pagi sebaik pintu pagar kubur dibuka, orang ramai mula hadir membawa rasa hiba dan sebak untuk memberikan penghormatan kepada Allahyarhamah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain membaca Surah Yasin untuk disedekahkan kepada Allahyarham, ada yang berkesempatan menyiram air mawar sebagai tanda kasih dan penghormatan malah, ada antara mereka dalam diam menitiskan air mata.

Selain itu, ada juga yang berpeluang menziarahi pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terletak bersebelahan.

Sementara itu, salah seorang pengawal keselamatan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya ketika ditemui berkata, orang ramai mula menziarahi pusara Allahyarhamah seawal 7 pagi tadi sebaik pintu pagar dibuka.

“Sejak dua hari lalu, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi pusara Allahyarhamah termasuk sehingga pukul 10 malam tadi.

“Kawasan (tanah perkuburan) ini dibuka seawal pukul 7 pagi dan ditutup pukul 10 malam. Namun, ada yang singgah ziarah pada waktu malam kerana laluan ini adalah alternatif bagi penduduk Putrajaya yang mahu ke Dengkil,” katanya.

Allahyarham Dr Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak. – UTUSAN

Scroll to Top