Bekan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpandangan sebarang pelarasan kenaikan gaji minimum pada masa akan datang wajar mengutamakan kepentingan tenaga kerja tempatan dan tidak diperluaskan kepada pekerja asing.
Foto: Kosmo
Memetik laporan MalaysiaGazette, penasihat DAP itu berpandangan langkah berkenaan penting bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terus menjadi keutamaan, selain mengelakkan perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada berdepan tambahan beban kos.
Menurut Guan Eng, pekerja asing diambil bekerja oleh majikan tempatan berdasarkan kontrak dan kadar upah yang telah dipersetujui antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Justeru, beliau berpendapat golongan berkenaan tidak seharusnya menikmati manfaat daripada sebarang kenaikan kadar gaji minimum yang mungkin diperkenalkan kerajaan.
Pada masa sama, Guan Eng turut menggesa supaya sumbangan dua peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dimansuhkan segera.
Menurutnya, pelaksanaan caruman berkenaan memberi tekanan tambahan kepada majikan tempatan termasuk PMKS, sedangkan beliau berpandangan ia tidak memberikan manfaat sewajarnya kepada pekerja asing.
“Lindungi PMKS dan mengutamakan perniagaan tempatan terlebih dahulu dengan mengecualikan pekerja asing daripada mendapat manfaat daripada sebarang kenaikan gaji minimum!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Foto: Utusan Malaysia
Pandangan itu disuarakan susulan jangkaan kerajaan akan membuat pelarasan terhadap kadar gaji minimum semasa sebanyak RM1,700.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan kadar berkenaan dijangka dinaikkan, dengan perinciannya bakal diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober.
Bagaimanapun, kadar baharu gaji minimum masih belum dimuktamadkan dan perkara berkenaan perlu mendapat pertimbangan serta persetujuan Kabinet.
Mengulas mengenai kemungkinan kenaikan tersebut, Guan Eng berkata perkembangan itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan, terutama pengusaha PMKS yang perlu menguruskan peningkatan kos operasi.
Katanya, peniaga tempatan pada masa ini turut berdepan persaingan harga daripada pengeluar luar negara, selain perlu menanggung pelbagai kos berkaitan cukai dan pematuhan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan tidak mengetepikan pandangan pemain industri sebelum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai pelarasan gaji minimum.
“Dalam keadaan ekonomi yang agak lembab, kerajaan diharapkan mengadakan libat urus dengan peniaga dan PMKS yang terjejas,” tambahnya lagi.
Sumber: MalaysiaGazette




