Simpan SSPN rezeki buat masa depan anak

Simpan SSPN rezeki buat masa depan anak

Cyberjaya: “Saya sangat bersyukur,” itu luah Zaim Zazami Ibrahim, 40, seorang usahawan orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas menerima sumbangan RM1,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Sumbangan tersebut disalurkan menerusi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime untuk anak tunggalnya, Zuyyin Kayyisa, yang baru berusia empat tahun.

Zaim Zazami menyifatkan bantuan menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN itu sebagai rezeki untuk perancangan masa depan anaknya. 

Beliau turut terharu apabila mengetahui Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, tertarik dengan perkongsian video mengenai rutin kehidupannya sebagai usahawan OKU.

“Saya syukur Allah SWT rezekikan saya dipertemukan dengan pihak PTPTN. Dalam masa yang sama, saya tersentuh apabila mendengar cerita daripada Pengerusi PTPTN sendiri yang melihat video rutin kehidupan saya sekeluarga meniaga. 

Apa yang saya terima hari ini, saya sangat bersyukur kerana diberi rezeki terutama untuk masa depan anak. 

Sumbangan Simpan SSPN memberi makna besar kerana ia membantu menyediakan tabung pendidikan awal untuk anak yang bakal memulakan alam persekolahan tahun depan,” katanya ketika ditemui di tapak niaganya di Lorong Belakang Cyberjaya.

Sumbangan disampaikan secara peribadi oleh Norliza dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, serta Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar. 

Sementara itu, Norliza menegaskan bahawa pihak PTPTN sentiasa memahami bahawa setiap keluarga mempunyai cabaran serta keperluan yang tersendiri.

Anak kelahiran Segamat, Johor itu mengalami perubahan hidup selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2006 yang mengakibatkan kecederaan tulang belakang, menyebabkannya terpaksa menggunakan kerusi roda seumur hidup. 

Zaim Zazami kemudian berkahwin dengan Kartini Ahmad, 42, pada tahun 2011. Kini, pasangan berkenaan mengusahakan perniagaan pencuci mulut seperti Moist Chocolate Cake dan Dubai Chewy Cookies sebagai sumber mata pencarian utama keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top