London : Pelakon Ben Affleck buat julung kalinya berkongsi bagaimana pemergian ibu dan bapanya, Timothy Affleck serta Chris Affleck pada tahun ini, mendorong beliau untuk merenung kembali ketika kanak-kanak dari sudut berbeza.
Menurutnya tahun ini adalah detik yang penuh dengan kedukaan selepas pemergian orang tersayang.
Selepas bapa pemenang anugerah Oscar itu, Timothy Affleck, meninggal dunia pada April disusuli pula ibunya, Chris Affleck pada Jun lalu, Ben tampil bercakap secara terbuka buat kali pertama mengenai betapa besarnya kesan pemergian mereka.
“Saya mula berfikir tentang masa kecil saya sendiri dalam cara yang agak berbeza,” kata Ben menerusi episod podcast Streets We Grew Up On pada 30 September.
“Saya sememangnya belajar untuk lebih menghargai ibu saya secara mendalam, serta amat menghargai dan melihat apa yang telah beliau lakukan, selain pengorbanan dan komitmennya yang begitu menyeluruh.
“Chris meninggal dunia pada 2 Jun selepas disahkan mengidap kanser pankreas sekitar Disember tahun lalu seperti dilaporkan The Hollywood Reporter.
Selepas Chris dan Timothy bercerai ketika Ben dan Casey masih kecil, kedua-dua pelakon itu dibesarkan oleh ibu mereka di Massachusetts, manakala bapa mereka berpindah ke California.
Walaupun hubungan Ben dengan Timothy mengalami pasang surut sepanjang tempoh remajanya, pelakon filem Gone Girl itu akhirnya menyedari bahawa ‘pengajaran dan warisan utama’ dalam kehidupan bapanya adalah bagaimana beliau ‘memperbaiki hidupnya secara drastik’ menerusi perjuangan bebas daripada ketagih alkohol.
“Sebahagian daripada proses menjadi dewasa adalah belajar memahami bahawa ibu bapa kita juga manusia biasa,” katanya kepada majalah People. “Mereka tidak sempurna. Mereka cuma cuba melakukan yang terbaik.”
Walaupun Ben sedar bahawa ‘kita mengharapkan kesempurnaan daripada ibu bapa kita’ semasa masih kanak-kanak, beliau akhirnya mengakui untuk lebih memahami ibu bapanya.
“Saya belajar untuk melihat perkara-perkara yang saya harapkan berbeza semasa kecil dan berkata bahawa mereka telah cuba melakukan yang terbaik,” sambungnya.
“Mereka sedang berdepan dengan masalah mereka sendiri dan trauma masa kecil mereka. Matlamatnya adalah untuk cuba memutus kitaran yang menyakitkan ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




