ferzalfie@hmetro.com.my
Genting Highlands: Nicolas Breuillard membuktikan kepercayaan pasukan terhadap dirinya tidak sia-sia apabila pelumba TotalEnergies itu bangkit daripada masalah kesihatan untuk menjuarai Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Tapah ke Genting Highlands, hari ini.
Breuillard, 26, mencatat masa 3 jam 11 minit 26 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan sejauh 125.7 kilometer (km) sekali gus meraih kemenangan profesional penting sebelum menyertai pasukan WorldTeam, XDS Astana musim depan.
Dia mengatasi pelumba Burgos-Burpellet-BH, Josh Burnett yang ketinggalan lapan saat di tempat kedua, manakala pendahulu klasifikasi keseluruhan (GC) Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling Team, menduduki tempat ketiga dengan jurang 21s di peringkat Queen Stage.
Kemenangan itu hadir selepas Breuillard mengakui mengalami masalah kesihatan pada awal Peringkat 1 sehingga menyebabkan keyakinannya terjejas.
“Saya datang ke sini untuk GC dan pasukan percaya kepada saya, tetapi saya jatuh sakit pada hari pertama di Malaysia. Selepas itu keadaan menjadi agak rumit.
“Rakan sepasukan saya lebih percaya kepada saya berbanding diri saya sendiri,” katanya.
Peranan Valentin Retailleau turut menjadi antara kunci kejayaan Breuillard apabila pelumba TotalEnergies itu bekerja keras sejak kilometer sifar untuk membawa rakan sepasukannya ke kelompok hadapan.
“Semalam dalam taklimat, kami akui akan berikan segala-galanya untuk saya. Dari kilometer sifar, kami terus menekan dan akhirnya saya bersama Valentin berada dalam kelompok pemecahan.
“Valentin melakukan tugas luar biasa untuk mendapatkan jurang yang baik. Apabila memasuki pendakian, ia sangat sukar untuk saya kerana saya tidak mendapat rentak yang baik, tetapi saya berikan segala-galanya,” katanya.
Breuillard berkata, kemenangan itu memenuhi sasaran peribadinya selepas berulang kali menyatakan keinginan untuk memenangi perlumbaan musim ini.
“Saya memang mahu memenangi satu peringkat atau perlumbaan tahun ini. Saya sudah beritahu pasukan, saya mahu menang.
“Saya berterima kasih kepada pasukan kerana mereka percaya kepada saya dan memberikan peluang ini,” katanya.
Selepas lima peringkat, Jasch kekal menguasai Jersi Jingga dengan catatan keseluruhan 18:56:33s, manakala Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) di tempat kedua dengan jurang 26s dan rakan sepasukannya, Jan Castellon di kedudukan ketiga, 58s di belakang.
Jasch turut mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu klasifikasi pendakian (Jersi Polka Dot) dengan 35 mata, diikuti Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) dengan 29 mata dan Breuillard 25 mata.
Bagi klasifikasi pecut, Matteo Malucelli dari Astana mendahului dengan 32 mata, diikuti Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) dengan 24 mata dan Ronan Auge (Unibet Rose Rockets) dengan 14 mata.
Pelumba Jepun, Yuhi Todome dari Aisan Racing Team menguasai Jersi Putih (Terbaik Asia) selepas lima peringkat dengan masa keseluruhan 19:05:54s.
Tsen Ren Bao dari St George Continental Cycling Team di tempat kedua, (3:44s) di belakang, manakala adiknya, Tsen Ren Han ketiga dengan jurang (5:25s).
Dalam kalangan pelumba Malaysia, Tsen Ren Han muncul pelumba tempatan terbaik di Genting Highlands selepas menamatkan saingan di tempat ke-29, 5:32s di belakang Breuillard.
Esok Peringkat 6 akan bermula dari Pandan Indah ke Rembau dengan jarak 121.3km dengan menawarkan tiga zon pendakian CAT 3 Ampang, Bukit Hantu, Bukit Mendum, manakala tiga zon pecutan pula di Ulu Beranang, Rahang dan Rembau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




