am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan merakam empat wanita membuang air kecil dalam tandas dan memiliki video lucah pada bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Mukhris Sulaiman, 22, mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Bagi tuduhan pertama hingga keempat, Muhammad Mukhris didakwa melakukan kesalahan di sebuah kilang di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah antara 11.44 pagi dan 6.55 petang, 2 September hingga 23 September lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa dengan tuduhan memiliki beberapa video lucah ketika pemeriksaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, pada 9.30 pagi, 24 September lalu.
Tertuduh didakwa Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili V Sivakumar.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua tuduhan dan memerintahkannya tidak mendekati mangsa sehingga perbicaraan selesai.
Kes akan disebut semula pada 19 November ini untuk serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




