Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan sedikit masa untuk benar-benar menerima pemergian isterinya yang disayangi selama 70 tahun, kata anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Beliau berkongsi perkembangan semasa mengenai keadaan bapanya yang kini berada di bawah pemantauan pihak Institut Jantung Negara (IJN), di sini.
Mukhriz berkata, buat masa ini, lebih baik bapanya berada di IJN terlebih dahulu kerana keadaan di rumah akan mengingatkan bapanya kepada isteri tercinta Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia, Isnin lalu.
Beliau berkata, keadaan itu mungkin memberi manifestasi terhadap kesihatan fizikal bapanya.
“Saya kira kalau duduk di rumah pun agaknya setiap benda yang dia pandang akan mengingatkan dia lagi kepada arwah bonda (Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali).
“Jadi lebih baik Tun M duduk IJN dulu, mungkin kalau dia sampai betul-betul dapat pulih,” katanya.
Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di situlah beliau bertemu Dr Mahathir sebelum mereka berkahwin pada 1956.
Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




